AM

70 Petugas Kementerian Komunikasi Di Sabah Terima APC 2024

24/07/2025 05:56 PM

PENAMPANG, 24 Julai (Bernama) -- Sebanyak 70 petugas jabatan dan agensi Kementerian Komunikasi di Sabah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2024, yang disampaikan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di sini hari ini.

Daripada jumlah itu, 41 petugas Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan (Japen) (24 petugas), Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) (3 petugas) dan masing-masing satu petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarah Japen Julina Johan dan Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) Nasaruddin Abdul Muttalib.

Seorang daripada penerima, Pengarah J-KOM Sabah Milus Alu@Abd Wahad berkata pencapaian cemerlang itu adalah hasil kerjasama pasukan J-KOM di Sabah dalam menjalankan tugasan masing-masing.

“Terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan J-KOM yang telah memilih saya untuk menerima anugerah ini. Penghargaan juga untuk pasukan J-KOM yang sentiasa memberi sokongan menjayakan program anjuran jabatan,” katanya kepada Bernama selepas majlis berkenaan di sini hari ini.

Beliau yang berkhidmat selama dua tahun di J-KOM dan sebelum ini selama 30 tahun di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah berkata APC itu adalah yang keempat diterimanya selepas kali pertama pada 2002.

Sementara itu, Ketua Biro Bernama Sabah Fadzli Ramli berkata anugerah itu bukan miliknya sendiri, sebaliknya milik semua rakan setugas di agensi berita nasional itu terutamanya petugas di Bernama Biro Sabah yang sentiasa berusaha menyokong antara satu sama lain.

“Ini hasil kerja berpasukan sebagai petugas Bernama yang berusaha sedaya upaya mengangkat agensi berita ini menjadi yang terbaik bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia. Anugerah ini memberikan motivasi kepada saya untuk melakukan yang terbaik kepada Bernama,” katanya yang berkhidmat di Bernama selama 15 tahun.

Beliau yang kali pertama menerima APC pada 2014 turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi dan Bernama kerana memilihnya sebagai penerima APC 2024.

Penolong Pegawai Penerangan Japen Deonalissa Jekee Edin berkata penghargaan yang kali pertama diterimanya itu akan menyuntik semangat untuk menyumbang kejayaan lebih besar kepada jabatan dan berkhidmat kepada masyarakat.

“Anugerah ini sangat berharga kerana ia disampaikan oleh Menteri Komunikasi, sekali gus memberi kenangan bukan sahaja kepada diri saya tetapi juga semua penerima kali ini,” katanya yang telah bertugas hampir empat tahun di jabatan itu. 

Pembantu Tadbir FINAS Nur Amira Ismail yang juga pertama kali menerima anugerah itu berasa gembira dan terharu kerana diberi peluang untuk menerima penghargaan berkenaan.

“Setelah 18 tahun berkhidmat di FINAS, ini adalah kali pertama saya menerima anugerah ini, dan saya yakin apabila bekerja bersungguh-sungguh usaha itu akan dinilai tepat pada waktunya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan