AM

Kestabilan Politik Membolehkan Kerajaan Laksana Pelbagai Inisiatif Penghargaan - Azalina

25/07/2025 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Pelbagai inisiatif “penghargaan untuk rakyat” yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Rabu lepas, bukti komitmen Kerajaan MADANI terus berusaha merangka usaha dan inisiatif yang mendahulukan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata langkah itu juga menggambarkan sebuah kerajaan yang bukan sekadar mencatat pertumbuhan ekonomi yang baik tetapi lebih utama memastikan pertumbuhan itu dapat diterjemah dalam bentuk manfaat langsung kepada rakyat.

“Ini dapat dikecapi susulan implementasi dasar dan program MADANI ke arah tadbir urus dan tatakelola yang baik serta berintegriti.

“Saya percaya kejayaan Kerajaan MADANI dalam mengecapi kestabilan politik merupakan pendorong utama yang membolehkan dasar menyeluruh sebegini dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Facebook beliau di sini hari ini.

Sehubungan itu, Azalina menyeru semua pihak supaya mengekalkan kesepakatan dan perpaduan utuh itu dengan fokus untuk memperkukuh negara demi kesejahteraan negara dan rakyat.

Sebelum itu, beliau turut hadir ke Mesyuarat Mingguan Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Mesyuarat turut dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, barisan Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar 

Rabu lepas, Anwar mengumumkan beberapa inisiatif sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada rakyat, termasuk bantuan sekali beri RM100 melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya.

Anwar turut mengumumkan harga RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter susulan rancangan penyasaran subsidi bahan api itu selain mengisytiharkan cuti umum tambahan pada 15 Sept sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini serta menyegerakan tambahan lebih 4,000 doktor termasuk lantikan kontrak, di fasiliti kerajaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan