AM

UDA Perluas Akses Peluang Perniagaan Untuk Bumiputera Menerusi KKS UDA Vista

25/07/2025 08:56 PM

JOHOR BAHRU, 25 Julai (Bernama) -- UDA Holdings Berhad (UDA) memperluaskan akses peluang perniagaan untuk golongan bumiputera menerusi projek Kedai Kos Sederhana (KKS) UDA Vista.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Johari Shukri Jamil berkata projek hartanah komersial mampu milik di bawah inisiatif Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) itu menawarkan 62 unit ruang perniagaan pada harga mampu milik bermula serendah RM200,000.

Beliau berkata setiap unit berkeluasan sekitar 1,200 kaki persegi dengan susun atur moden, luas dan praktikal serta bersesuaian untuk pelbagai jenis perniagaan serta aktiviti komersial.

“Projek ini berada di lokasi strategik iaitu di Bandar UDA Utama. Ia telah diiklankan pada hari ini dan permohonan boleh dibuat melalui sistem eRumah Johor,” katanya pada pelancaran KKS UDA Vista, yang disempurnakan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi sempena Pameran Hartanah Johor (JPEX) 2025 di Angsana Johor Bahru Mall di sini hari ini.

Johari Shukri berkata inisiatif KKS UDA Vista merangkumi bayaran pendahuluan yang rendah, yuran guaman untuk dokumen perjanjian jual beli (SPA) dan perjanjian pinjaman yang ditanggung UDA.

Beliau berkata ia akan memberi lebih akses dan kemudahan kepada pembeli untuk memiliki hartanah komersial yang berbaloi dan bernilai tinggi. 

Dalam pada itu, Johari Shukri berkata KKS UDA Vista berupaya menjadi platform untuk membangunkan hab usahawan bumiputera, sekali gus berupaya memacu pertumbuhan usahawan khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). 

“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh ekonomi tempatan, malah turut merancakkan pembangunan sektor hartanah, terutamanya di negeri Johor yang sedang pesat membangun,” katanya.

Beliau berkata sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), UDA sentiasa memainkan peranan proaktif dalam memperluas peluang pemilikan hartanah bumiputera dan menyediakan ruang niaga strategik pada harga mampu milik.

Johari Shukri berkata selain KKS UDA Vista, pihaknya turut menawarkan pelbagai hartanah termasuk rumah teres satu tingkat, rumah bandar, kedai pejabat, rumah berkembar, banglo dan pangsapuri servis serendah RM288,054 untuk tempoh 2025-2026.

“Hartanah yang ditawarkan direka khusus untuk memenuhi keperluan golongan muda, keluarga, usahawan dan pelabur dengan konsep yang sempurna bagi setiap lapisan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi UDA Land (South) Sdn Bhd Muhammad Ismail Dasuki berkata UDA menawarkan pakej jualan istimewa untuk tempoh terhad selama tiga hari sempena JPEX 2025 yang berlangsung bermula hari ini.

‘’Dalam masa tiga hari ini, saya ingin menyeru warga Johor untuk beramai-ramai rebut peluang mendapatkan hartanah UDA menerusi reruai yang disediakan,’’ katanya.

Beliau berkata orang ramai yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai promosi hartanah terkini juga boleh mengunjungi Galeri Jualan UDA Land (South) Sdn Bhd di Wisma SBBU, Bandar Baru UDA di sini atau melayari www.udaproperty.com.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan