JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Penunggang Motosikal Maut Dalam Kemalangan Di Jalan Sungai Rengit

26/07/2025 10:22 AM

JOHOR BAHRU, 26 Julai (Bernama) -- Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 60.5 Jalan Sungai Rengit, Kota Tinggi awal pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata kedua-dua lelaki berusia 18 dan 19 tahun itu mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. 

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkaitan kemalangan membabitkan dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan sebuah lori yang masih belum dikenal pasti, kira-kira pukul 1.24 pagi. 

"Kemalangan didapati berlaku apabila kedua-dua motosikal terbabit dipercayai terlanggar bahagian belakang lori itu, (bagaimanapun) kes masih dalam siasatan. 

"Mayat mangsa telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan manakala pemandu lori berkenaan pula masih belum dapat dikesan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Yusuf memohon orang awam yang melihat kejadian agar tampil memberikan maklumat dan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp Mohd Fairuz Abd Malek melalui talian 012-7415886. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan