KUANTAN, 26 Julai (Bernama) -- Timbalan Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup mendahului senarai 58 penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-66 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sultan Pahang berkenan berangkat menyempurnakan istiadat yang berlangsung di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini hari ini.
Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan paduka anakanda Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Arthur dikurniakan darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri bersama-sama Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Nazri Abu Bakar, Gabenor Bank Negara Datuk Seri Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Turut menerima SSAP, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, Pengarah Belanjawan Negara Kementerian Kewangan Datuk Ab Rahim Ab Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan Datuk Zahrul Hakim Abdullah @ Ab Allah.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad, Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Abdul Majid, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malayan Banking Berhad Datuk Khairussaleh Ramli dan Ketua Jabatan Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Dr Azmee Mohd Ghazi turut dikurniakan SSAP.
Penerima lain ialah Pengerusi B.Grimm And Co. Datuk Dr. H.C Harald Link, Pengerusi Dan Pengarah Eksekutif Prima Merdu Sdn Bhd Datuk Amer Hamzah Ahmad, Pengarah Urusan Tong Chun Development Sdn Bhd Datuk Ken Ng Chee Kean dan Pengarah Urusan Kumpulan Magma Group Berhad Datuk Liang Chee Fong.
Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera pula dikurniakan kepada tiga individu, iaitu Pegawai Kewangan Pahang Datuk Fadzilla Salleh, mantan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Diraja Malaysia (PERKEP) Puan Sri Zainah Othman dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional Datuk Che Roslan Che Daud.
Penerima tunggal Darjah Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (DSAS) yang membawa gelaran Datuk ialah Mufti Pahang Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim manakala Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang turut membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada lapan individu.
Mereka ialah Penasihat Undang-Undang Pahang Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Pengarah Tanah dan Galian Pahang Datuk Razihan Adzharuddin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pembangunan) Datuk Ali Syahbana Sabaruddin dan Panglima Wilayah Udara 2 Markas Wilayah Udara 2, Wilayah Persekutuan Labuan Mejar Jeneral Datuk Norli Hisham Alwi.
Turut menerima DSAP ialah Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya, Pereka Fesyen dan Pengasas Butik Radzuan Radziwill Datuk Radzuan Radzi, Pengasas dan Pengarah Eksekutif Jaxer Sdn Bhd Mohd Faizal Abdullah dan Ketua Pengarah Sendayu Tinggi Holdings Sdn Bhd Mohamad Zaidi Aziz.
Seramai 26 individu menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang turut membawa gelaran Datuk, antaranya Pengarah Kanan Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Saiful Ezral Arifin dan Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS) Profesor Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.
Sultan Pahang turut berkenan mengurniakan DIMP kepada Duta Besar Malaysia Ke Lubnan Azri Mat Yacob, Pengarah JBPM Pahang Mohd Razam Taja Rahim, Setiausaha Bahagian Sumber Manusia Kementerian Kesihatan Noor Azman Abdul Rahman dan Timbalan Pengarah Kerja Raya Jabatan Kerja Raya Sabah Mohd Shamsul Nizam Abdul Wahid.
Penasihat Pertahanan MALAWAKIL Jakarta Brigedier Jeneral Azrin Iskandar Zulkaply, Ketua Pengarah Cawangan Operasi Pertahanan Bahagian Operasi dan Latihan Pertahanan Brigedier Jeneral Mohd Rafi Muhammad, Panglima Grup Artileri Pertahanan Udara Brigedier Jeneral Azhar Mustapha dan Ketua Staf Bahagian Operasi Udara Eastern Sabah Security Commad (ESSCOM) Brigedier Jeneral Ivan John Row turut dikurniakan DIMP.
Pada istiadat itu, baginda juga berkenan mengurniakan darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP) kepada empat individu, antaranya kepada Juruiring Polis Kepada Perdana Menteri Malaysia Ke-6 DSP Nik Mohammed Syukry Nik Husain dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang Wan Azam Wan Rosdy.
Istiadat berkenaan bermula sebaik sahaja 21 das tembakan meriam dilepaskan sejurus lagu Allah Selamatkan Sultan Kami dimainkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial