AM

Kerajaan Madani Komited Dengan Prinsip Kebebasan Bersuara - Saifuddin Nasution

26/07/2025 04:19 PM

ALOR SETAR, 26 Julai (Bernama) -- Kerajaan MADANI komited dengan prinsip Perlembagaan yang menjamin kebebasan bersuara rakyat negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata atas prinsip itu, pihaknya tidak terlalu memberi tumpuan kepada perhimpunan yang berlangsung di ibu negara hari ini.

“Bila mahkamah kata tak perlu maklumkan kepada polis, kita ikut…mereka minta (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) turun, Anwar dah turunkan harga minyak. Mereka minta Anwar turun, Anwar turunkan tarif elektrik. Masih nak turun lagi?

“Tapi isu pokok yang saya nak sebut ialah kalau pembangkang betul-betul menghormati prinsip demokrasi, saya nak lontarkan dua soalan, mereka hendak lakukan di luar Parlimen atau di dalam Parlimen?” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Temu Duga Kanak-kanak (CIC) Kontinjen Kedah di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Awang Alik Jeman.

Saifuddin Nasution berkata jika sebarang tuntutan terhadap kerajaan dibuat di luar Parlimen seperti melakukan perhimpunan, ia tidak akan memberi apa-apa kesan.

“Dalam Parlimen, Perdana Menteri dah buka seluas-luasnya peluang dan pembangkang boleh buat usul undi tak percaya.

“Dalam kes ini, Perdana Menteri kata usul pembangkang akan didahulukan, urusan kerajaan akan ditangguh dulu. Tapi sidang Parlimen dah lima hari, sunyi sepi,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata jika pihak pembangkang memahami proses demokrasi dan mahu menggunakan jalur demokrasi untuk menjatuhkan seseorang, ia sepatutnya melalui Parlimen.

“Yang ada, riuh rendah kat luar nak berkumpul. Jadi, rakyat boleh tengok sekarang ini, nak pegang prinsip demokrasi atau sebenarnya nak wujudkan keresahan?

“Nak paparkan wajah hodoh, nak bagi isyarat buruk kepada potensi pelabur, ketika ekonomi sedang mula bergerak ke arah yang lebih baik,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan