LABUAN, 26 Julai (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke edisi sulung Festival Flora Borneo 2025 yang berlangsung di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan di sini hari ini.
Bertemakan ‘Flora Tropika Borneo’, festival yang dinanti-nantikan itu diserikan dengan persembahan tradisional Borneo, termasuk tarian Magunatip yang menjadi identiti komuniti Murut di Sabah.
Persembahan kebudayaan itu menyerikan lagi acara pembukaan festival yang menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara.
Keberangkatan tiba Raja Zarith Sofiah tiba di Labuan pagi tadi untuk lawatan rasmi dua hari, disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, isteri Yang Dipertua Negeri Sarawak Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, isteri Ketua Setiausaha Negara Puan Sri Maheran Jamil serta Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.
Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa melawat taman-taman bertema yang dihasilkan dengan penuh kreativiti oleh agensi kerajaan, komuniti tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengambil bahagian.
Pada acara itu, Raja Permaisuri Agong berkenan menerima cenderamata orkid hitam dari Sabah yang jarang-jarang ditemukan yang menjadi lambang khazanah botani Borneo yang sungguh unik dan bernilai.
Festival Flora Borneo 2025 yang julung-julung kali dianjurkan itu ialah inisiatif kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan agensi-agensi di bawahnya, bermatlamat merancakkan pertumbuhan sosioekonomi serta memperkukuh kedudukan Labuan sebagai destinasi ekopelancongan dan budaya serantau.
Esok, Seri Paduka Baginda dijadualkan menyempurnakan pembukaan Galeri Kraftangan Labuan yang baru ditubuhkan
Festival itu dijangka menjadi acara tahunan dalam kalendar pelancongan sekali gus mencerminkan transformasi Labuan sebagai pulau yang lebih inklusif, mampan dan kaya daya tarikan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial