AM

BFF Tarik Pengunjung Luar Ke Labuan

26/07/2025 08:27 PM

LABUAN, 26 Julai (Bernama) -- Festival Flora Borneo (BFF) yang berlangsung di sini bermula hari ini bukan sahaja berjaya menarik minat ribuan pengunjung tempatan malah dari luar pulau bebas cukai itu. 

Pengunjung dari Brunei, Siti Norlila Rahim, 38, berkata dia tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan pelbagai spesies bunga yang dipamerkan sempena festival berkenaan yang diadakan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa.

Ibu kepada tiga cahayamata itu berkata kebetulan mereka sekeluarga tiba di Labuan dengan menaiki feri dari Brunei semalam untuk melawat ahli keluarga yang menetap di pulau itu. 

"Mama ada beritahu di sini (Labuan) ada festival flora, jadi kami pun ambil kesempatan untuk datang dan paling menarik ada juga reruai dari Brunei," katanya kepada Bernama.

Jinus Yoson, 51, dari Tambunan, Sabah pula tiba di Labuan dua hari lepas kerana tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan festival bunga yang julung kali diadakan itu.

Kagum dengan susunan dan dekorasi yang ada di setiap reruai, dia berkata acara BFF sangat menarik dengan hiasan bunga berwarna warni selain pelbagai aktiviti yang boleh disertai pengunjung.

"Kalau orang luar pun boleh datang apatah lagi penduduk Labuan, mereka tidak harus lepaskan peluang dan datang beramai-ramai ke BFF," katanya yang turut melawat anaknya yang bekerja di sini.

Nur Hayanti Asri, 18, dari Kuala Penyu berkata dia sangat teruja dan seronok kerana pertama kali berpeluang menyaksikan festival seumpama itu.

 “Sebagai orang muda, pertama kali yang ada dalam fikiran saya ialah untuk ambil gambar bersama bunga yang berwarna-warni ini untuk dimuat naik dalam sosial media terutama Instagram," katanya yang mengetahui festival itu melalui hebahan media sosial.

Sebanyak 31 pempamer terlibat dalam BFF termasuk dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan dengan mempamerkan 12,000 tumbuhan hiasan melibatkan ratusan spesies bunga tropika yang datang dari pelosok tanah air.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan