AM

Dodol Telur, Dodol Gelembung Buaya Tarik Minat Pengunjung di Muar

26/07/2025 06:15 PM

MUAR, 26 Julai (Bernama) -- Dodol telur dan dodol gelembung buaya yang sukar didapati di Johor, semestinya mencuri tumpuan pengunjung pada Karnival Kita MADANI yang diadakan bersempena dengan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di sini.

Dibawakan khas dari Kampung Laut, Kelantan, kedua-dua dodol warisan itu mempunyai rasa dan tekstur yang unik selain ramuannya juga berbeza daripada dodol biasa yang lazimnya menggunakan bahan antaranya tepung pulut dan gula melaka.

Usahawan muda dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu, Nur Atikah Syazwani Hassan, 30, berkata dodol itu menggunakan resipi keluarganya sejak 1970 dan dimasak secara tradisional selama empat hingga lima jam bagi mengekalkan kelazatan dan ketahanan juadah itu.

"Istimewanya dodol telur adalah pada ramuannya, terutamanya telur dan santan yang dimasak perlahan sehingga likat. Kami hasilkannya setahun sekali sahaja, dodol ini unik kerana rasanya yang kaya dengan lemak telur serta manis yang seimbang.

"Bagi dodol gelembung buaya pula, kami masukkan isi kelapa muda segar dan hasilkan dalam dua warna, iaitu hijau dan jingga, sebagai kelainan daripada dodol biasa," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Reruai Keusahawanan Komuniti MADANI pada karnival berkenaan di Dataran Tanjung Emas, di sini hari ini.

Nur Atikah Syazwani berkata sambutan terhadap kedua-dua produk itu amat menggalakkan, malah banyak pengunjung yang mencuba buat kali pertama kagum akan rasa dan tekstur dodol berkenaan yang unik.

Setiap jenis dodol dijual pada harga RM11 bagi 500 gram dan RM21 untuk satu kilogram, serta dibungkus panas-panas terus dari kawah bagi mengekalkan kelembutan serta rasa segar.

“Pelanggan akan menerima dodol yang lembut dan tidak keras langsung. Jika disimpan dengan betul, makanan ini boleh tahan hingga seminggu. Bagi saya, program ini juga antara usaha untuk melestarikan makanan warisan Melayu.

“Melalui platform seperti Reruai Keusahawanan Komuniti MADANI, saya berharap dodol warisan Kampung Laut ini dapat menembusi pasaran lebih luas sekali gus membuktikan bahawa produk tradisional luar bandar mampu bersaing di pentas nasional,” katanya.

Sementara itu, pengunjung dari Melaka Lukman Hakeem Fauzi, 33, berkata rasa dodol gelembung buaya yang tidak terlalu manis menjadikannya antara juadah tempatan yang memikat selera.

“Memang unik dan sukar didapati di pasaran. Dengan rasa yang enak serta harga berpatutan, dodol ini sudah menjadi antara juadah kegemaran baharu saya,” katanya yang bertolak seawal 7 pagi dari Melaka untuk menghadiri acara berkenaan.

Nur Atikah Syazwani merupakan antara 16 usahawan tempatan dari seluruh negara yang diberi peluang mempromosikan produk masing-masing menerusi Reruai Keusahawanan Komuniti MADANI yang berlangsung selama dua hari hingga esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan