PETALING JAYA, 26 Julai (Bernama) -- Sejak digerakkan tujuh tahun lepas oleh 27 guru bersama sukarelawan daripada dua persatuan komuniti, Program Guru Tatchanai berjaya membimbing lebih 800 pelajar India yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Anbumani Balan berkata daripada jumlah itu, lebih 250 pelajar berjaya melanjutkan pengajian ke universiti awam dalam pelbagai bidang.
Program yang mendapat sokongan penuh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan itu ialah inisiatif bimbingan Persatuan Jaya Diri Negeri Johor dan Social I-Tenaga Association khusus untuk pelajar India yang menduduki STPM dan dilaksanakan secara dalam talian.
“Ini adalah bukti bahawa apabila komuniti berganding bahu, tiada apa yang mustahil. Pendidikan bukan hak eksklusif golongan berada, ia milik setiap anak bangsa yang gigih berusaha,” katanya selepas merasmikan Majlis Sathanayalar Santippu bagi meraikan lebih 100 pelajar India cemerlang dalam STPM di sini hari ini.
Pada majlis itu, Anbumani turut memaklumkan bahawa Ramanan selaku Ahli Parlimen Sungai Buloh sentiasa menjadikan pendidikan sebagai antara agenda utama perjuangannya.
Pada tahun ini sahaja, hampir RM200,000 insentif pendidikan telah disalurkan melalui kerjasama Yayasan Bank Rakyat serta agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), melibatkan lebih 300 pelajar cemerlang.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Jaya Diri Negeri Johor Krishnasamy Muniandy menyuarakan penghargaan kepada Ramanan terhadap komitmen beliau untuk program berkenaan.
“Kami amat menghargai sokongan dan peruntukan yang diberikan oleh beliau. Ia bukan hanya mengiktiraf pencapaian pelajar STPM komuniti India, malah menjadi dorongan moral yang besar buat mereka.
“Kami berharap program Sathanayalar Santippu dapat diperluas ke seluruh negara supaya lebih banyak pelajar menerima manfaatnya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial