AM

Latihan Bahasa Dan Etika Untuk Pemandu Teksi Menjelang TMM 2026 - Loke

27/07/2025 01:38 PM

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) merancang menyediakan latihan asas bahasa dan etika pemanduan kepada pemandu teksi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata langkah itu penting kerana industri teksi bukan sekadar pengangkutan tetapi adalah nadi perkhidmatan rakyat dan wajah pertama negara kepada pelancong.

Beliau berkata pada masa sama, dalam usaha menjaga keselamatan dan kebajikan pemandu teksi, kerajaan turut menanggung sepenuhnya caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) golongan itu melibatkan peruntukan Kementerian Kewangan (MOF) dan MOT.

“Tahun lepas, MOF memperuntukkan sebanyak 90 peratus dan MOT tanggung 10 peratus (bagi pihak pemandu). Tahun ini sepatutnya pemandu bayar 30 peratus tetapi saya telah bersetuju untuk MOT tanggung 30 peratus (caruman) itu untuk pemandu-pemandu teksi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu beliau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ketiga Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM) yang memberikan ruang berharga kepadanya untuk mendengar sendiri suara industri.

Loke berkata sebagai Menteri Pengangkutan, beliau percaya hanya melalui kerjasama rapat dengan pemain industri seperti GTSM, reformasi dalam sektor itu akan dapat dilaksanakan dengan penuh bermakna.

“Reformasi ini sedang berjalan dan saya akan terus bersama warga industri untuk memperkukuh sektor pengangkutan awam demi manfaat rakyat,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan