AM

Pelancaran Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Perkukuh Semangat Perpaduan

27/07/2025 06:25 PM

MUAR, 27 Julai (Bernama) -- Pelbagai acara yang dianjurkan sempena Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang (MPBKKJG) 2025 di sini dilihat mampu mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini.

A D Yanto Angkar, 33, yang berasal dari Kota Marudu, Sabah berkata penganjuran MPBKKJG dan program berkaitan membolehkan rakyat Malaysia yang datang dari seluruh negara bertemu serta mengenali lebih dekat antara satu sama lain.

Beliau yang membuka reruai di Karnival Kita MADANI berkata MPBKKJG juga dapat membantu pengunjung mengetahui produk-produk yang terdapat di setiap negeri.

“Sebagai contoh, saya yang datang dari Sabah dapat merasai keenakan keropok lekor losong Terengganu serta mengetahui mengenai rekaan batik negeri itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Haradzi Harun, 66, yang berasal dari Kuala Terengganu berkata pengunjung MPBKKJG berpeluang mengenali keunikan kepelbagaian makanan tradisional Sabah, Sarawak dan negeri-negeri lain.

“Perkara yang menyeronokkan apabila ramai yang datang dari seluruh negara. Saya datang dari Terengganu dan di program ini bertemu pula rakan saya dari Melaka yang sudah lama tidak berjumpa,” katanya.

Dalam pada itu, bagi dua rakan karib Anis Sofia Salekin, 20, dan Nor Huda Nasihah Zaimi, 20, yang merupakan anak jati Johor menyifatkan peluang mengenakan busana etnik lain pada majlis itu merupakan satu pengalaman yang unik.

Anis Sofia berkata beliau memakai pakaian tradisional Minang dari Negeri Sembilan manakala Nor Huda Nasihah memperagakan pakaian ceongsam moden dan inilah kali pertama mereka memakainya serta berbangga negara ini mempunyai pelbagai budaya serta pakaian yang berbeza antara negeri serta etnik.

MPBKKJG 2025 di Dataran Tanjung Emas dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Julina Johan.

Program sisipan MPBKKJG 2025 telah bermula sejak Jumaat lepas dengan menampilkan pelbagai pengisian berunsur komuniti dan kekeluargaan seperti pertandingan mewarna dan Bintang Suara MADANI, persembahan kesenian dan aktiviti kebudayaan tempatan.

Dua komponen utama yang menarik perhatian pengunjung ialah reruai usahawan Komuniti MADANI yang menghimpunkan peniaga mikro dan kecil dari seluruh negara, serta reruai perkhidmatan agensi kerajaan dan swasta yang menawarkan pelbagai kemudahan kepada orang ramai.

Acara kemuncak hari ini turut merangkumi “Merdeka 6.8KM Fun Run & Walk” dan persembahan konvoi melibatkan aset darat dan air, dengan MPBKKJG menarik 12,000 pengunjung.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan