AM

FBP 2025 Promosi Balik Pulau Sebagai Produk Pelancongan Budaya

27/07/2025 07:20 PM

BALIK PULAU, 27 Julai (Bernama) -- Festival Balik Pulau 2025 (FBP 2025) dilihat mampu melonjakkan nama kawasan itu sebagai destinasi pelancongan budaya utama di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Perancangan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Radzi Omar berkata Balik Pulau bukan sekadar terkenal dengan durian, malah kaya dengan seni, budaya dan makanan tradisional yang berpotensi diketengahkan.

“FBP mula dianjurkan sejak 2019 sebagai platform mengetengahkan keunikan budaya Pulau Pinang. Ia bukan sahaja memeriahkan sektor pelancongan, malah memberi impak ekonomi kepada penggiat seni dan usahawan tempatan,” katanya kepada media pada majlis penutup FBP 2025 di Kompleks Sukan Balik Pulau di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai dan turut dihadiri Ahli Parlimen Balik Pulau Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Mohd Radzi turut memaklumkan sebanyak RM1.38 juta geran sokongan telah disalurkan kepada 25 persatuan dan syarikat kebudayaan di Pulau Pinang tahun lepas, manakala RM490,000 lagi diluluskan hingga Mei tahun ini.

Katanya sebagai persediaan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026, JKKN giat menganjurkan festival seni budaya di seluruh negara termasuk di Perlis, Perak, Kelantan dan akan ke Kedah serta Terengganu.

Sementara itu, Wong berkata festival sebegini membuka ruang kepada penggiat seni tempatan untuk mempamerkan identiti budaya ke peringkat lebih tinggi, selain memberi limpahan ekonomi di kawasan luar bandar serta pinggir bandar.

Muhammad Bakhtiar pula berharap FBP dijadikan acara tahunan dalam kalendar pelancongan bagi terus mempromosikan Balik Pulau kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

FBP 2025 bertemakan “Kembali Riuh di Lik Lau” berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lepas dengan pelbagai pengisian seperti persembahan seni, aktiviti keagamaan, pertandingan dan pameran usahawan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan