AM

JAS Siasat Punca Kematian Ikan Di Sungai Ketil, Sampel Air Dihantar Ke Jabatan Kimia

28/07/2025 01:17 PM

GUA MUSANG, 28 Julai (Bernama) -- Sampel air Sungai Ketil dekat Taman Rekreasi Rimba Wangi di sini yang didakwa telah tercemar sehingga mengakibatkan kematian ratusan ikan baru-baru ini telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan selanjutnya.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan Wan Aminordin Wan Kamarudin berkata arahan pemantauan harian di sungai berkenaan juga dikeluarkan serta-merta bagi memastikan tiada kes berulang.

"Memang aduan telah kita terima berhubung kejadian yang berlaku di Sungai Ketil dekat Taman Rekreasi Rimba Wangi dan JAS mengambil berat hal ini. 

"Sebelum ini aduan air hitam dan telah diselesaikan, namun sekarang aduan kes ikan mati. Insya-Allah JAS akan buat yang terbaik," katanya kepada Bernama hari ini. 

Sebelum ini, media melaporkan penduduk di Taman Wangi terkejut apabila bangkai ratusan ikan timbul di permukaan Sungai Ketil, yang turut menjadi sumber air terawat untuk kegunaan penduduk di sekitar bandar Gua Musang. 

Penduduk, Mat Hussin Daud, 68, berkata dia mengumpulkan ikan-ikan yang terapung itu ke dalam baldi seperti ikan kelah serta baung dan berasa sangat terkilan dengan kejadian ini kerana merosakkan ekosistem sungai.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan