KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Kejayaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merealisasikan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand merupakan satu pencapaian besar yang mencerminkan kekuatan semangat ASEAN serta bukti komitmen beliau terhadap diplomasi berpaksikan dialog.
Pengerusi Yayasan RIGHTS Mohd Yusmadi Mohd Yusoff, dalam ucapan setinggi-tinggi tahniahnya, berkata kewibawaan dan kepimpinan bermoral Anwar sekali lagi membuktikan bahawa kepimpinan yang berprinsip, inklusif serta berpaksikan dialog mampu merungkai ketegangan serantau yang paling meruncing.
Pengarang buku Anwar Ibrahim: Global Justice and Peace Through Dialogue itu berkata kejayaan merealisasikan gencatan senjata itu bukan sahaja pencapaian besar dalam diplomasi tetapi juga kemenangan buat semangat ASEAN, kestabilan serantau dan paling penting, untuk rakyat Kemboja dan Thailand yang berhak menikmati keamanan serta keselamatan.
“Saya berharap kejayaan ini akan terus menjadi sumber inspirasi kepada usaha menginstitusikan dialog dan mengukuhkan amalan diplomasi pencegahan bukan sahaja dalam ASEAN malah di peringkat global,” kata bekas Senator dan Ahli Parlimen itu dalam satu kenyataan di sini.
Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata itu secara serta-merta serta tanpa syarat susulan ketegangan yang memuncak antara kedua-dua negara di sepanjang sempadan yang dipertikai dalam satu pertemuan khas di Putrajaya, yang dipengerusikan oleh Anwar hari ini.
Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai menzahirkan komitmen mereka bagi meredakan ketegangan itu apabila bersetuju melaksanakan gencatan senjata itu secara serta-merta selain memulihkan keadaan untuk kembali seperti biasa bermula 12 malam ini.
Konflik antara Thailand dan Kemboja memuncak sejak 28 Mei lepas susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara di Preah Vihear yang meragut nyawa seorang anggota tentera Kemboja.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin pula berkata pencapaian itu mengukuhkan lagi kerelevanan ASEAN sebagai platform bagi penyelesaian konflik serantau.
Beliau berkata gencatan senjata itu turut menyerlahkan kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam menyatukan kekuatan serantau dengan sokongan kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, yang menjadi penaja bersama rundingan bersejarah ini.
“ABIM menggesa semua kuasa-kuasa besar ini agar terus menyokong pendekatan ASEAN yang berteraskan keamanan, tidak mengeksploitasi konflik demi kepentingan strategik sebaliknya menghormati kepimpinan serantau serta memperkukuh keupayaan tempatan untuk menyelesaikan konflik secara berdaulat dan bermaruah,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Ahmad Fahmi berkata ABIM turut menyeru semua pihak agar mematuhi sepenuhnya perjanjian gencatan senjata itu dan segera menghentikan segala bentuk provokasi berkuat kuasa mulai tengah malam ini.
“ABIM juga mencadangkan agar ASEAN segera menubuhkan pasukan pemantau bebas dan berkecuali bagi memastikan pelaksanaan gencatan senjata berjalan lancar sepanjang tempoh yang dipersetujui selaras dengan semangat rundingan yang telah dicapai,” katanya.
Sebagai manifestasi solidariti serantau, beliau berkata bantuan kemanusiaan ASEAN mesti disalurkan dengan segera kepada semua pihak yang terjejas khususnya komuniti yang kehilangan tempat tinggal, keluarga yang kehilangan rumah dan mereka yang tercedera akibat konflik.
“ABIM turut menggesa rakyat Thailand dan Kemboja termasuk komuniti digital mereka agar tidak menyebarkan provokasi, naratif kebencian atau tuduhan tidak berasas di platform media sosial.
“Pendekatan yang bertanggungjawab seperti ini adalah penting dalam menghidupkan semula semangat saling menghormati dan keharmonian rentas sempadan demi mencapai keamanan yang berkekalan,” katanya.
Sebagai sebuah gerakan masyarakat sivil, Ahmad Fahmi berkata ABIM komited untuk bekerjasama dengan rangkaian masyarakat sivil di seluruh ASEAN bagi memupuk budaya keamanan, membantu mangsa konflik dan memastikan suara rakyat kekal menjadi komponen penting dalam usaha membina keamanan yang mampan.
“Ini termasuk mencadangkan penganjuran Persidangan Masyarakat Sivil ASEAN bagi Keamanan Serantau sebagai platform bagi dialog dan perdamaian selain memperjuang pelaksanaan Program Pendidikan Keamanan ASEAN khususnya bagi komuniti sempadan serta belia di seluruh rantau ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial