KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir menjadi antara keutamaan Kementerian Pendidikan (KPM) ketika ini, kata menterinya Fadhlina Sidek.
Beliau memberi jaminan siasatan yang telus dilaksanakan bagi memastikan kes berkenaan benar-benar mendapat keadilan.
“Kita (KPM) menyerahkan sepenuhnya dan memberikan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Jadi, untuk isu ini semua soal dalam aspek memberikan bantuan dalam siasatan, kita beri tumpuan penuh… kita juga perlu berlaku adil dengan memastikan kesejahteraan warga sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah, 17 Julai lepas.
Pelajar itu dibawa ke hospital terbabit selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Sementara itu, Fadhlina berkata pindaan terhadap Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) bertujuan mewajibkan pendidikan menengah yang diluluskan Dewan Rakyat malam ini antaranya bagi memastikan ibu bapa mengambil tanggungjawab bersama dalam soal pendidikan anak-anak mereka.
Beliau berkata KPM komited dalam memastikan anak-anak tetap bersekolah walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk masalah kemiskinan.
“Kita telah menyelaraskan bantuan di peringkat KPM untuk memastikan anak-anak kita ini mendapat bantuan yang sewajarnya baik dari segi soal biasiswa dan soal yang terkait rapat dengan bantuan persekolahan lain seperti uniform dan sebagainya,” katanya.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial