AM

RMK13 Beri Lonjakan Terhadap TVET, Ekonomi Bumiputera - Ahmad Zahid

31/07/2025 04:26 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini memberi lonjakan besar kepada pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera serta aspek pengurusan bencana negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penekanan terhadap kesejajaran gaji minimum melebihi prasyarat sedia ada dan pelaksanaan gaji premium dapat memberikan nilai tambah kepada ekosistem pendidikan serta kebolehpasaran pekerjaan di negara ini.

"Di samping itu juga saya amat berterima kasih kerana pemerkasaan agenda ekonomi Bumiputera sebagaimana ditetapkan dalam PuTERA35 (Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035) di mana 132 inisiatif yang ditetapkan dalam Resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera turut diterapkan dalam RMK13. 

"Mudah-mudahan ia akan dapat memberikan manfaat kepada semua peringkat golongan di luar bandar, di pinggir bandar dan juga di dalam bandar serta rakan-rakan di Sabah dan Sarawak," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara turut mengalu-alukan perancangan jangka panjang kerajaan dalam memperkukuh pengurusan bencana negara serta langkah mitigasi terhadap bencana alam khsususnya banjir.

Beliau berkata pembentangan RMK13 hadir ketika negara berhadapan ketidaktentuan ekonomi dan gangguan rantaian bekalan yang sangat mencabar daya saing serta kesejahteraan rakyat.

Selain itu, beliau berkata pelan hala tuju negara untuk tempoh 2026-2030 itu turut menekankan pemerkasaan ekonomi melalui penciptaan nilai yang dipacu oleh pendigitalan dan teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI) serta pendekatan bersepadu ke arah pertumbuhan ekonomi mampan dan inklusif.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pelaksanaan RMK13 perlu dirangka secara teliti dengan mengambil kira pendekatan holistik yang merangkumi semua lapisan masyarakat, sektor pembangunan, kelestarian alam sekitar serta penekanan terhadap aspek tadbir urus yang baik.

Beliau berkata ia penting bagi memastikan daya saing negara terus diperkukuh dan Malaysia kekal menyinar di persada antarabangsa.

“Kalau kita lihat apa dibentangkan tadi, sembilan tumpuan utama RMK13 di bawah tiga teras Ekonomi Madani. Pertama, menaikkan siling iaitu menuju negara berasaskan kecerdasan buatan (AI), industri berfokus kepada high growth, high value serta sektor strategik memfokuskan pembangunan wilayah dan desa yang berperanan aktif di peringkat global.

“Teras kedua adalah memperkukuh tatakelola dan institusi dengan memastikan perkhidmatan awam telus, pantas dan tuntas. Teras ketiga pula ialah menaikkan lantai bagi menangani kos sara hidup rakyat, memfokuskan kepada insan MADANI sebagai teras sosial serta meningkatkan mutu kehidupan rakyat,” katanya.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata kementeriannya akan memberi tumpuan kepada keterjaminan bekalan tenaga, kelestarian alam sekitar dan kemampuan rakyat membiayai kos tenaga dan air.

Beliau berkata kerajaan telah mengumumkan pendekatan baharu pasaran tenaga yang lebih telus dan berpatutan termasuk memperkenalkan tarif baharu, konsep time of use untuk penggunaan tenaga secara lebih berhemah.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan mengkaji secara mendalam potensi teknologi nuklear sebagai sumber tenaga bagi melengkapkan sumber sedia ada seperti solar, di samping meneruskan usaha pembangunan sumber tenaga baharu yang lestari.

Dalam sektor lain, Fadillah berkata tumpuan turut diberi kepada projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Johor, Perak, Pahang, Sarawak dan Sabah bagi mengurangkan risiko banjir serta menjamin keterjaminan bekalan air.

Bagi Sabah dan Sarawak, beliau berkata kerajaan akan meneruskan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo dan Trans Borneo bagi meningkatkan keterhubungan infrastruktur serta kemudahan asas di kedua-dua negeri itu.

Semasa membentangkan RMK13, Perdana Menteri berkata ia berteraskan kepada tiga asas utama iaitu pembentukan negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah, sistem sosial berteraskan insan MADANI, serta peralihan kepada negara berasaskan kecerdasan buatan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan