AM

PLATS Rekod Nilai Jualan Lebih RM10 Juta

01/08/2025 11:44 PM

KLANG, 1 Ogos (Bernama) -- Program Platform Selangor (PLATS) iaitu sebuah ekosistem keusahawanan digital dibangunkan kerajaan Selangor, berjaya merekodkan nilai jualan terkumpul melebihi RM10 juta setakat ini. 

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata jumlah itu dicapai menerusi pelbagai program yang dilaksanakan, sekali gus menonjolkan kecemerlangan budaya keusahawanan di negeri itu. 

“Berdasarkan data kita, program Bazar Ramadan Agrobank PLATS mencatat nilai jualan mencecah sekitar RM8 juta. 

“…dan berdasarkan data sistem peranti Point of Sales yang diberikan kepada usahawan kita, di situ hampir RM3 juta dikesan,” katanya pada sidang media Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) 2025 di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Ahmad Azri berkata setakat ini seramai 88,000 usahawan menyertai program itu, sekali gus menghampiri sasaran 100,000 usahawan ditetapkan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari. 

Beliau berkata program itu menumpukan kepada usahawan mikro iaitu golongan penjaja dan peruncit kecil, dengan kebanyakan melibatkan diri dalam sektor industri makanan dan minuman serta perkhidmatan. 

“Ekonomi mikro antara penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pergerakan ekonomi yang berlaku dalam negeri merancakkan ekonomi. 

“Dengan ramai peniaga yang berjaya sudah tentu ia menunjukkan kegiatan ekonomi itu baik khususnya di Selangor,” katanya. 

Ahmad Azri berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi memperkasakan usahawan di bawah program berkenaan untuk membawa produk mereka ke pasaran luar negara. 

“Kita juga akan ke Shanghai, China pada November dan akan melihat bagaimana kita boleh memasarkan produk di situ selain ke Timur Tengah,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan