SUKAN

RBMRC 2025: Hakim Danish Idam Perlumbaan Penamat Sempurna

06/08/2025 04:43 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Pelumba muda negara Hakim Danish Ramli meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan sebagai juara keseluruhan Kejuaraan Piala Rookies Red Bull MotoGP (RBMRC) 2025, sekali gus membuka laluan beraksi di pentas Kejuaraan Dunia Moto3 musim depan.

Bagi merealisasikan impian tersebut, Hakim Danish hanya perlu memastikan kedudukan podium dalam baki dua pusingan perlumbaan di Spielberg, Austria pada 16 dan 17 Ogos ini dan kemuncaknya di Litar Misano, Itali pada 13 dan 14 Sept.

Pelumba berusia 18 tahun itu kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan kutipan 154 mata, 13 mata di hadapan pelumba Sepanyol, Brian Uriarte dan 24 mata daripada Veda Pratama (Indonesia) yang berada di kedudukan ketiga.

“Buat masa ini, fokus utama saya adalah RBMRC kerana saya sedang mendahului carta keseluruhan. Jadi, saya akan berikan tumpuan sepenuhnya untuk muncul juara keseluruhan dan beraksi dengan prestasi maksimum,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan motosikal Yamaha Y15ZR miliknya yang telah dinaik taraf oleh UMA Racing dan RCB, di Puchong, dekat sini hari ini.

Terdahulu, syarikat pengeluar komponen permotoran berprestasi tinggi itu menghadiahkan komponen naik taraf bernilai lebih RM20,000 kepada pelumba kelahiran Terengganu itu sebagai suntikan semangat menjelang baki saingan musim ini.

Dalam pusingan kelima RBMRC 2025 di Litar Sachsenring, Jerman bulan lalu, Hakim hanya menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-10, manakala dalam Perlumbaan 2, beliau gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh ketika berada di kedudukan ketujuh dengan baki 15 pusingan.

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar UMA Racing, Alfred Lim Chiu Siong, berkata kejutan tersebut diharap mampu membakar semangat Hakim Danish dan pelumba tempatan lain untuk terus mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.

“Menerusi kerjasama ini, UMA Racing dan RCB komited menyokong bakat akar umbi serta memastikan pelumba muda negara dilengkapi peralatan terbaik dalam usaha mengejar impian dan mengharumkan nama Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan