AM

Inisiatif Kampung Dan Sekolah Angkat MADANI Terima Respons Positif Syarikat Swasta - PM

09/08/2025 05:41 PM

KOTA BHARU, 9 Ogos (Bernama) -- Inisiatif Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI yang diperkenal oleh kerajaan mendapat sambutan positif daripada pihak syarikat swasta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata susulan sambutan menggalakkan itu, bilangan yang diambil sebagai kampung dan sekolah angkat oleh syarikat swasta melebihi sasaran ditetapkan.

“Di Malaysia ini, kita ada syarikat-syarikat besar dan syarikat gergasi… ada yang melabur puluhan bilion dolar, jadi saya kata pilihlah kampung... 

"Kemudian baru-baru ini juga, saya ada panggil syarikat-syarikat... ambillah sekolah-sekolah sebagai sekolah angkat, jadi setiap syarikat diminta ambil beberapa sekolah, saya sasarkan hanya 300 sekolah tetapi syarikat-syarikat swasta ini apabila diberi gesaan, 1,000 sekolah telah diambil sebagai sekolah angkat termasuk di Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program MADANI Rakyat 2025 Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Program Kampung Angkat MADANI adalah inisiatif kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar. 

Ia bertujuan membantu menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya, lampu jalan, akses Internet dan fasiliti komuniti di kampung-kampung terpilih. 

Sekolah Angkat MADANI pula adalah inisiatif yang bertujuan merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar. 

Program itu membabitkan kerjasama erat antara agensi kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta untuk memberikan sokongan jangka panjang dalam lima bidang utama iaitu infrastruktur, akademik, latihan guru, bantuan kewangan serta pembangunan sahsiah pelajar.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan