AM

Sekolah Angkat MADANI: MRL Sumbang RM5,000 Kepada SK Sri Kiambang

09/08/2025 09:11 PM

KOTA BHARU, 9 Ogos (Bernama) -- Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menyumbang RM5,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kiambang di Pasir Mas menerusi Program Sekolah Angkat MADANI.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang juga Pengerusi MRL berkata sekolah tersebut adalah antara lima sekolah di negeri Pantai Timur yang menjadi sekolah angkat di bawah syarikat MRL. 

"Program Sekolah Angkat MADANI bersama ECRL adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat MRL untuk menyokong pembangunan pendidikan dan kebajikan warga sekolah.

"Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi kerajaan Persekutuan menerusi Program Sekolah Angkat MADANI, yang menggalakkan penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan sektor swasta dalam membantu sekolah di seluruh negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyerahkan cek sumbangan permulaan bernilai RM5,000 itu kepada Pengetua SK Sri Kiambang Noorazman Junus di sekolah berkenaan hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Aminuddin Hassim.

Mengulas lanjut, Shamsul Azri berkata menerusi program itu MRL turut memberikan sumbangan bakul makanan kepada 50 keluarga pelajar asnaf dari SK Sri Kiambang bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.

"Pihak MRL berharap bantuan yang disalurkan dapat memberikan manfaat langsung kepada para pelajar serta memperkasakan pendidikan di kawasan luar bandar, di samping membina hubungan baik dengan komuniti setempat terutamanya yang terletak di lokasi berhampiran jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI yang diperkenalkan kerajaan mendapat sambutan positif pihak swasta dan bilangannya melebihi sasaran yang ditetapkan.

Sementara itu, Shamsul Azri berkata kerja-kerja pembinaan ECRL di Kelantan berjalan lancar dan mencatat kemajuan 91.22 peratus setakat Julai lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan