EKONOMI

MALAYSIA MAHU RANGKA STRATEGI KEPERCAYAAN DIGITAL, TUBUH SURUHANJAYA DATA - GOBIND

12/08/2025 12:32 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Kerajaan komited untuk mewujudkan Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data 2026–2030 serta menubuhkan Suruhanjaya Data bebas bagi melindungi transformasi digital menerusi ekosistem kebangsaan yang komprehensif.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata kesemua inisiatif terbabit dapat mengukuhkan lagi aspek perlindungan dan tadbir urus data, meningkatkan ketahanan siber selain menegakkan integriti ekosistem digital Malaysia.

Pada masa sama, katanya, ini dapat memastikan kemajuan negara dalam kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital agar kekal selamat, telus serta berwibawa.

“Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data ini akan menetapkan pelan hala tuju jangka panjang bagi membina daya tahan terhadap ancaman baharu, memajukan integriti data dan mengukuhkan keyakinan awam terhadap masa depan digital Malaysia.

“Sebagai pelengkap strategi ini, Suruhanjaya Data akan berfungsi sebagai sebuah badan pemantau bebas yang bertanggungjawab dalam melindungi dan memastikan tadbir urus data kukuh selain menggalakkan penerimagunaan AI yang beretika,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak AI ASEAN Malaysia 2025 (AAIMS25) di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Gobind berkata seni bina atau kerangka suruhanjaya itu dibentuk agar dapat beroperasi secara saling kendali di serata ASEAN, sekali gus membolehkan Malaysia menyumbang secara bermakna dalam usaha membina kepercayaan serantau.

“Menerusi pendekatan proaktif dan berpandangan jauh, Malaysia tidak hanya bersedia menangani cabaran semasa, malah berada dalam kedudukan untuk menerajui pembentukan piawaian serantau dan global bagi AI serta sistem digital yang dipercayai.

“Usaha kita untuk mewujudkan kepercayaan menerusi Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data serta penubuhan Suruhanjaya Data adalah untuk melengkapkan dan mengukuhkan rangka kerja bersama ASEAN,” katanya.

Gobind juga menegaskan bahawa inisiatif domestik Malaysia akan menjadi asas bagi pembentukan kepercayaan ASEAN yang lebih luas, mampu melindungi data, memastikan keselamatan AI dan memupuk keyakinan awam rentas sempadan, terutama dalam era AI yang kian berautonomi.

Malaysia sedang dalam usaha untuk menyumbang kepada kerangka kepercayaan serantau menerusi penyelarasan dengan inisiatif ASEAN seperti Panduan ASEAN mengenai Tadbir Urus dan Etika AI, Rangkaian Keselamatan AI ASEAN dan Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN 2026–2030.

“Kerangka ini akan membolehkan AI beroperasi secara selamat dan merentasi semua aspek, memastikan tadbir urus data yang konsisten serta mengukuhkan lagi keyakinan awam melangkaui sempadan negara.

“Menerusi kerjasama secara kolektif, ASEAN dapat mengatasi jurang AI serta melindungi masyarakat, meneroka potensi inovasi, membangunkan masa depan AI yang terangkum, selamat dan memaparkan identiti ASEAN,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan