AM

MALAYSIA PROMOSI VISI BANDAR CHASE UNTUK PEMBANGUNAN BANDAR MAMPAN ASEAN - DR ZALIHA

13/08/2025 12:45 AM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Malaysia hari ini menyeru negara ASEAN untuk mengamalkan pendekatan bersepadu dalam perancangan bandar, yang mengimbangi pemeliharaan alam sekitar, kesejahteraan sosial dan daya saing ekonomi menerusi rangka kerja Bandar CHASE.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata rangka kerja yang diperkenalkan di Wilayah Persekutuan itu, membayangkan bandar yang Bersih, Sihat, Maju, Selamat dan Mesra Alam, dengan menawarkan model fleksibel yang boleh disesuaikan dengan realiti pelbagai bandar di ASEAN.

“Dalam konteks cabaran yang saling berkait ini, Malaysia berusaha merangka satu visi panduan yang praktikal untuk dilaksanakan, namun tetap mampu disesuaikan dengan pelbagai keadaan di seluruh ASEAN.

“Ini bukanlah satu kumpulan agenda yang berasingan, sebaliknya ia falsafah bersepadu yang membimbing dasar, reka bentuk dan tadbir urus bandar secara holistik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan khas pada Forum Perbandaran Mampan ASEAN (ASUF), Forum Datuk Bandar dan Gabenor ASEAN (AGMF) serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Negara ASEAN (MGMAC) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Dr Zaliha berkata rangka kerja Bandar CHASE selaras dengan keutamaan perbandaran ASEAN kerana ia membolehkan kerjasama antara kerajaan, sektor perniagaan, akademia dan masyarakat sivil untuk mewujudkan bandar yang mampan dan sesuai didiami.

Beliau memberi contoh pembangunan Kota MADANI di Putrajaya sebagai manifestasi nyata rangka kerja tersebut, yang menggabungkan penyelesaian rendah karbon, teknologi pintar berasaskan AI, mobiliti aktif dan selamat, rangkaian hijau serta kemudahan komuniti.

Dr Zaliha turut menekankan keanggotaan Malaysia dalam Davos Baukultur Alliance, menjadikan Malaysia negara pertama di luar Eropah yang menyertai gabungan global tersebut.

“Keanggotaan ini mencerminkan keyakinan kami bahawa bandar bukan sekadar ruang berfungsi. Ia ekosistem budaya dan sosial yang bentuk fizikalnya seharusnya mengukuhkan identiti, memupuk keterangkuman serta membangkitkan rasa bangga dalam kalangan penduduk,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada inisiatif seperti Warisan KL, yang memelihara tapak warisan termasuk Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara melalui penggunaan semula secara adaptif dan reka bentuk mampan, sekali gus mewujudkan ruang awam yang meningkatkan rasa bangga sivik, pelancongan dan aktiviti ekonomi.

-- BERNAMA

 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan