EKONOMI

BANGLADESH MAHU TEROKA LEBIH BANYAK PELABURAN DARI MALAYSIA UNTUK PACU EKONOMI PERTUMBUHAN TINGGI - MUHAMMAD YUNUS

12/08/2025 03:48 PM

PUTRAJAYA, 12 Ogos (Bernama) -- Bangladesh mahu meneroka lebih banyak pelaburan dari Malaysia untuk mengukuhkan ekonominya dan membina masa depan yang mampan serta ekonomi berpertumbuhan tinggi, kata Ketua Penasihat Bangladesh Dr Muhammad Yunus.

Beliau berkata negara di Asia Selatan itu, disokong oleh sumber manusia dan keupayaan teknologi semakin meningkat, menawarkan banyak peluang, menjadikannya destinasi menarik bagi perniagaan Malaysia yang berhasrat berkembang di peringkat global.

“Malaysia adalah sahabat baik dan kami mencari pelaburan dari Malaysia...itulah yang telah kami bincangkan,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Terdahulu, Yunus yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra.

Beliau menekankan keperluan untuk kerjasama lebih erat dalam sektor kewangan dan pelaburan, ia akan mewujudkan lebih banyak peluang dan menyumbang kepada ekonomi berpertumbuhan tinggi dan mampan di Bangladesh.

“Kami sangat gembira hari ini. Kami telah meneliti senarai idea yang boleh mengukuhkan lagi hubungan ini,” katanya.

Yunus adalah seorang ahli ekonomi, usahawan sosial, dan penerima Hadiah Nobel Keamanan yang terkenal sebagai perintis mikrokredit dan mikro kewangan, melibatkan pemberian pinjaman kecil kepada individu miskin tanpa memerlukan cagaran, membolehkan mereka memulakan atau mengembangkan perniagaan kecil serta menghapuskan kitaran kemiskinan.

Sementara itu, Anwar menyifatkan Yunus sebagai sahabat baik Malaysia yang telah membuat kemajuan luar biasa dalam memastikan keamanan dan keselamatan di Bangladesh semasa tempoh peralihan, pada masa sama terus mengukuhkan hubungan dua hala dalam bidang seperti perdagangan, pelaburan, budaya, dan pendidikan.

Beliau berkata Malaysia juga turut mengutamakan langkah-langkah untuk membantu pekerja Bangladesh yang terkandas, selain meneruskan kerjasama dalam sektor tenaga menerusi Petroliam Nasional Bhd (Petronas), telekomunikasi melalui Axiata Group Bhd dan meneroka bidang baharu dalam penyelidikan halal; Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) serta semikonduktor.

Sebelum sidang media, Malaysia dan Bangladesh telah memeterai lapan memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian yang bertujuan untuk memperdalam hubungan dua hala merentasi pelbagai sektor termasuk pertahanan, tenaga, pendidikan tinggi, diplomasi, pembangunan halal, dan kerjasama sektor swasta.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Anwar dan Yunus.

Antara pertukaran dokumen utama ialah memorandum persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Pertahanan antara kedua-dua kerajaan, ditandatangani Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Penasihat Hal Ehwal Luar Bangladesh Md Touhid Hossain.

Turut ditandatangani adalah MoU mengenai kerjasama dalam bekalan dan infrastruktur gas asli cecair (LNG), produk petroleum dan kemudahan berkaitan ditandatangani Menteri Kewangan II yang juga memangku Menteri Ekonomi Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Penasihat Bangladesh untuk Pengangkutan Jalan Raya dab Jambatan, Tenaga, Sumber Mineral dan Perkhidmatan Kereta Api M Fouzul Kabir Khan.

MoU juga telah dimeterai antara MIMOS Services Sdn Bhd dan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Bangladesh-Malaysia (BMCCI) serta antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan Persekutuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Bangladesh (FBCCI).

Pada 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Bangladesh mencecah RM13.35 bilion (USD2.92 bilion) meningkat sebanyak 5.1 peratus berbanding 2023.

Bangladesh rakan dagang kedua terbesar dan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia di Asia Selatan, eksport utama Malaysia ke Bangladesh termasuk produk petroleum, minyak sawit dan bahan kima manakala import terdiri daripada tekstil, kasut, produk petroleum dan barangan keluaran kilang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan