AM

PENINGKATAN JENAYAH SIBER, MCMC PERHEBAT KEMPEN INTERNET SELAMAT

12/08/2025 06:10 PM

LABUAN, 12 Ogos  (Bernama) -- Penipuan perbankan dalam talian yang mengatasi jenayah kecil lain menjadi antara isu membimbangkan di pulau bebas cukai ini, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)

Pengarah MCMC Wilayah Persekutuan Faisal Hamdi Mohammed Ghouth berkata MCMC akan memperhebat Kempen Internet Selamat bagi memastikan rakyat daripada semua lapisan dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang dapat melindungi mereka daripada jenayah siber.

Beliau berkata mangsa bukan sahaja pesara dan suri rumah, malah mereka yang berkerja dalam sektor kewangan dan teknologi maklumat tidak terkecuali. 

“MCMC telah berkerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia, bank konvensional dan pihak berkuasa tempatan. Hanya dengan satu panggilan ke talian hotline  997 Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang beroperasi 24 jam, tujuh hari seminggu, kita dapat membantu mengekang jenayah berkaitan kewangan dalam talian ini. 

“Panggilan mesti dibuat serta-merta sebaik mereka menerima panggilan penipuan atau berasa menjadi mangsa, bukannya beberapa hari selepas insiden berlaku,” katanya.

“Kita akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan tempatan bagi menangani kes penipuan dalam talian ini dengan lebih berkesan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Open-Source Intelligence (OSINT) di sini hari ini. 

Faisal berkata peningkatan jenayah kewangan dalam talian mendorong pelaksanaan program OSINT di Labuan. 

Program yang diadakan dari 12 hingga 14 Ogos itu, bertujuan melatih agensi penguatkuasaan tempatan dengan mengukuhkan keupayaan mereka menangani cabaran keselamatan siber, isu kandungan tidak wajar dan pelbagai pelanggaran undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan undang-undang berkaitan lain. 

Sementara itu, Pengarah Kanan Wilayah Tengah MCMC Mohamad Rizal Ahmad berkata OSINT merupakan kemahiran penting dalam era digital untuk mengumpul, menganalisis dan menilai maklumat daripada media sosial, laman sesawang dan platform e-dagang.

“Dengan teknik dan alatan yang betul, ia membantu kita bertindak dengan lebih proaktif, pantas dan tepat… latihan ini juga membolehkan agensi menjalankan pemprofilan mereka sendiri dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata program OSINT itu merupakan yang kedua daripada enam siri sesi yang dirancang untuk tahun ini.

Mohamad Rizal berkata sesi pertama telah diadakan di Melaka, dan latihan ini akan dilaksanakan di lokasi lain bagi memastikan agensi penguatkuasaan di seluruh negara mendapat manfaat daripadanya.

“Sepanjang program tiga hari ini, peserta didedahkan kepada modul termasuk pengenalan dan teknik OSINT, pengurusan media baharu, aplikasi praktikal melalui kajian kes, siasatan dan serbuan, serta forensik digital dan pemeliharaan data.

“Setiap sesi dikendalikan oleh pegawai MCMC berpengalaman, dengan pendekatan secara praktikal untuk memastikan peserta dapat menggunakan kemahiran tersebut dalam tugasan mereka,” katanya. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan