KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Sebarang kesalahan berkaitan pemasangan atau pemaparan Jalur Gemilang secara tidak wajar yang menimbulkan kekeliruan, salah faham atau kegusaran awam boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua pihak perlu bertanggungjawab untuk menghormati bendera Malaysia sebagai simbol kedaulatan negara serta mematuhi undang-undang dan garis panduan yang berkuat kuasa berkaitan penggunaannya.
“AGC memandang serius sebarang perbuatan memaparkan, mengibarkan atau memasang bendera Malaysia secara tidak teratur atau tidak mengikut tatacara sepatutnya,” menurut kenyataan itu.
AGC memaklumkan antara kejadian dilaporkan pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik adalah di sebuah kedai di Kepala Batas, Pulau Pinang; pemasangan bendera Malaysia secara terbalik di sebuah sekolah di Port Dickson, Negeri Sembilan; pemaparan bendera Malaysia tidak lengkap dalam buku laporan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2024 dan pemaparan bendera tidak lengkap dalam akaun media sosial rasmi milik beberapa akhbar tempatan.
Sementara itu, AGC turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri terhadap sesiapa jua yang disyaki terlibat dalam perbuatan berkenaan.
“Ia termasuk menyerbu premis pihak disyaki, menularkan maklumat peribadi atau membuat tuduhan melulu di media sosial, mencetuskan provokasi atau ugutan terhadap individu atau organisasi terlibat dan mengambil alih peranan pihak berkuasa seperti mengarah penurunan bendera atau menyita bahan terlibat tanpa kuasa undang-undang.
“Segala aduan atau maklumat berkaitan hendaklah disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang,” menurut AGC.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial