PUTRAJAYA, 15 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa badan penguat kuasa negara ini mengambil tindakan tegas terhadap sebarang ancaman yang kini menggugat negara termasuk melibatkan isu buli, jenayah ugutan dan keganasan.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata demokrasi menjadi tonggak dalam sistem pemerintahan negara dan sikap melampau, ketelanjuran, keangkuhan serta kebiadaban wajib dihentikan dengan seluruh kekuatan semua pihak.
“… sikap buli, sikap merendahkan darjat orang berdasarkan kaum atau keturunan atau warna kulit atau apa sahaja. Hal ini, mesti dan wajib dihentikan dengan seluruh kekuatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) Tahun 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan Menteri Kabinet antaranya Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta barisan ketua setiausaha kementerian turut menghadiri majlis itu.
Mengambil contoh kes membabitkan kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir dan Jalur Gemilang baru-baru ini, Anwar berkata kedua-dua isu kini dimainkan oleh pihak tertentu untuk menghangatkan suhu politik di Malaysia.
Sehubungan itu, beliau berkata arahan jelas telah diberikan kepada badan penguat kuasa agar mengambil tindakan sewajarnya termasuk ke atas mana-mana individu sama ada tokoh besar, kecil ataupun politik.
“Tindakan tegas mesti dan wajib diambil... kalau ada rakan-rakan yang mempunyai amanah, tidak bersedia, beritahu saya... kita tukar mereka dan ambil orang yang berprinsip tegas.
“Ini bukan saingan popular... bukan saingan siapa yang lebih popular... siapa yang sanggup menarik minat rakyat... ini soal menyelamatkan negara.
“... kita ada pengalaman bibit-bibit perpecahan dan tragedi rusuhan kaum… mulanya kecil, kali ini mungkin bendera, dulu mungkin siaran dan berita-berita palsu… jangan diizinkan dan mana boleh (perkara ini berlaku),” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan sekali lagi bahawa Kerajaan MADANI pimpinan beliau akan terus memelihara keselamatan rakyat di negara ini tanpa mengira kaum atau agama.
“Setiap rakyat, tidak kira kecil besar, miskin kaya atau dari kaum mana, mesti kita jamin keselamatan mereka, itu mesti kita pertahankan,” katanya sambil menambah kerajaan tidak akan bertolak ansur dalam soal ini.
Anwar turut meminta semua pihak agar memberi ruang kepada badan penguat kuasa menjalankan siasatan dan tidak menghukum atau membuat sebarang andaian tanpa fakta kukuh.
“... serahkan kepada kebijaksanaan badan penguat kuasa... ini belum apa-apa sudah ada yang tuding… anak individu kenamaan ini atau orang ini.
“Kita siapa?.. tutup sahaja pejabat-pejabat polis kalau dah semua keputusan kita boleh buat tanpa siasat. Jadi, harus ada siasatan segera... usul adil dan terbuka... jangan pakai hukum semberono,” katanya.
Beliau berkata segala siasatan di negara ini perlu dilaksana berlandaskan fakta, adil dan mengikut undang-undang sedia ada
Anwar juga berkata Malaysia terkenal dan maju kerana membantu dalam usaha perdamaian dan ia harus dipertahan oleh rakyat.
“Kita ini damai kerana kita daripada pelbagai kaum, pelbagai agama, budaya dan adat masih tahu kecintaan kita kepada negara dan sebagai manusia, ‘Karamah Insaniah’ yang kita tekankan,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri berjaya merealisasikan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand yang merupakan satu pencapaian besar sekali gus mencerminkan kekuatan semangat ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial