PUTRAJAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti individu di sebalik akaun TikTok “Dato’ Prof Dr Tunku Iskandar” yang didapati menyamar sebagai pakar patologi, serta mendakwa terlibat dalam proses bedah siasat kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan suspek tersebut bukan seorang pakar patologi.
“Individu berkenaan dikesan berdekatan kawasan Kota Damansara lewat malam tadi hasil maklumat daripada keterangan dua individu yang turut berada dalam sesi TikTok Live akaun tersebut.
“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk rakaman keterangan, manakala peralatan komunikasinya turut dirampas bagi tujuan analisis siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
MCMC dalam kenyataan itu memaklumkan penyebaran maklumat palsu, khususnya membabitkan isu sensitif seperti kematian, tragedi atau mangsa nahas, merupakan satu kesalahan serius yang boleh menyinggung perasaan keluarga, mengelirukan masyarakat serta mengganggu proses siasatan pihak berkuasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali. Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial