AM

Zara Qairina: Media Berdaftar Perlu Diberi Akses Utama Demi Laporan Tepat

19/08/2025 06:34 PM

KOTA KINABALU, 19 Ogos (Bernama) -- Media berdaftar perlu diberi keutamaan bagi membuat liputan sidang media untuk memastikan laporan yang tepat, menurut Persatuan Wartawan Sabah (SJA) merujuk kepada liputan melibatkan kes Zara Qairina Mahathir.

Presiden SJA Mariah Doksil berkata hal ini kerana terdapat individu yang bukan wartawan atau pengamal media telah mengganggu liputan rasmi kes Zara Qairina dengan memasuki zon media dan kemudiannya membuat penstriman langsung yang sepatutnya untuk maklumat orang ramai, tetapi dijadikan cara untuk memperoleh keuntungan wang.

Beliau berkata SJA juga mengambil maklum bahawa dakwaan palsu seperti laporan salah mengenai prosiding undang-undang, telah tersebar daripada sumber tidak sahih, sekali gus menguatkan keperluan supaya akses sidang media mengutamakan media berdaftar.

"Keadaan ini menjejaskan kerja kewartawanan, etika media dan menimbulkan kekeliruan. Kami menggesa penguatkuasaan lebih ketat untuk melindungi wartawan yang sedang bertugas.

"SJA juga menggesa pihak berkuasa untuk menguatkuasakan kawalan akses di kawasan sensitif seperti mahkamah, dan melarang rakaman di kawasan yang tidak dibenarkan untuk mengelakkan akses media terganggu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mariah berkata SJA juga menyatakan kebimbangan serius susulan laporan gangguan semasa sidang media inkues baru-baru ini, apabila seorang individu tidak dikenali turut berada bersama dengan media arus perdana.

Menurut persatuan itu, dua wartawan wanita melaporkan mereka berasa tidak selamat apabila individu terbabit berdiri terlalu dekat dengan mereka.

"SJA menyeru semua pihak supaya menghormati standard kewartawanan dan batasan undang-undang, laporan yang bertanggungjawab, tidak disensasikan, adalah yang terbaik demi kepentingan awam dan keadilan," katanya.

Semalam, Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan 3 Sept untuk memulakan prosiding siasatan kematian pelajar tingkatan satu itu.

Pada hari yang sama, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan lima remaja bawah umur akan didakwa di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu esok berhubung kes buli itu.

Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang asrama sekolahnya pada pagi 16 Julai lepas dan meninggal dunia keesokannya di Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan