SUKAN

Bekas Exco FAM Christopher Dilantik Ke Lembaga Penasihat WFS

19/08/2025 04:51 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia (WFS) mengumumkan pelantikan bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Christopher Raj ke Lembaga Penasihatnya berkuat kuasa 31 Julai lepas.

Pengarah Urusan merangkap pengasas bersama WFS Jan Alessie berkata pengalaman luas Christopher dalam bidang media dan komunikasi bola sepak menerusi peranannya bersama FAM, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menawarkan perspektif global.

“Rangkaian dan pandangan Christopher akan memperkukuh misi kami dalam membentuk masa depan sukan ini, serta merealisasikan bola sepak yang kita inginkan dan perlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Christopher yang terlibat dengan WFS sejak 2020 berkata beliau menyaksikan sendiri peranan WFS dalam menghimpunkan pemimpin-pemimpin yang mencorak landskap bola sepak dunia.

“Kini berkhidmat dalam Lembaga Penasihat, bersama individu berwibawa adalah satu penghormatan besar. Saya berharap dapat menyumbang pengalaman dalam bola sepak Malaysia dan Asia, serta menyokong visi WFS dalam memajukan bola sepak di peringkat global,” katanya.

Christopher merupakan individu kedua dari Malaysia yang dilantik ke Lembaga Penasihat WFS selepas Setiausaha Agung AFC Datuk Seri Windsor John.

Lembaga Penasihat ini terdiri daripada tokoh-tokoh dalam dunia bola sepak, antaranya pengasas dan Pengerusi APO Group Nicolas Pompigne Mognard, bekas eksekutif FIFA Luis Vicente, perunding sukan Michael Broughton dan bekas pemain antarabangsa England Sol Campbell.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan