EKONOMI

Bank Rakyat, PT Bathi Rakyat Abadi Meterai MoU Perkasa Kewangan Patuh Syariah Di Indonesia

19/08/2025 10:15 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) dan PT Bathi Rakyat Abadi hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperluas rangkaian kerjasama dalam penyelesaian kewangan patuh syariah.

MoU itu khususnya melibatkan perkhidmatan Ar-Rahnu (pajak gadai Islam), selain menyokong pertumbuhan perniagaan berasaskan halal di Indonesia.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata kerjasama itu mencerminkan hubungan erat serta aspirasi bersama Malaysia dan Indonesia dalam memperkasa komuniti, memperluas keterangkuman kewangan dan mengukuhkan gerakan koperasi merentas sempadan negara.

“Kerjasama antara Bank Rakyat dan Bathi Rakyat Abadi ini merupakan satu langkah bermakna ke arah memperkukuh hubungan Malaysia dan Indonesia melalui gerakan koperasi.

“Ia mencerminkan visi bersama untuk membangunkan sistem kewangan inklusif yang memperkasa rakyat, menggalakkan pembangunan bertanggungjawab dan mewujudkan peluang yang memberi manfaat kepada komuniti di kedua-dua negara,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata kerjasama strategik itu memperlihatkan aspirasi bank untuk mengembangkan jaringan antarabangsa dan mengukuhkan kedudukannya dalam kewangan koperasi.

“Kerjasama ini membuka pelbagai peluang, khususnya dalam perkhidmatan Ar-Rahnu. Bank Rakyat akan memberi panduan mengenai operasi patuh syariah di samping menyokong pertumbuhan perniagaan berasaskan halal di republik itu,” katanya.

Beliau menegaskan Bank Rakyat juga kekal komited untuk memperkukuh hubungan koperasi antara Malaysia dan Indonesia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan