AM

MARDI Saran Operator Dron Dapatkan Sijil RCOC-AL

19/08/2025 06:17 PM

ALOR SETAR, 19 Ogos (Bernama) -- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyarankan operator dron pertanian mengikuti modul pensijilan baharu Remote Certificate of Competency-Agriculture Light (RCOC-AL) bagi memastikan teknologi itu digunakan secara tepat untuk mencatat hasil yang optimum.

Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI Dr Azman Ismail berkata modul yang mendapat pengiktirafan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) itu juga membolehkan operator dron diiktiraf sekali gus meningkatkan kepercayaan serta keyakinan industri terhadap kepakaran tempatan.

“Dron jika digunakan dengan cara dan formula yang tepat serta optimum akan meningkatkan hasil tetapi jika digunakan tanpa mengambil kira faktor (penting) lain, ia akan memberi kesan negatif.

“Aspek keselamatan juga kita bimbang jika tiba-tiba dron jatuh dan saya bersyukur pengendali yang dilatih dengan modul ini mempunyai garis panduan, seterusnya menyumbang hasil pertanian yang baik,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Program Jelajah Dron Peringkat Zon Utara di sini hari ini.

Azman berkata penggunaan teknologi dron memberikan pelbagai manfaat dalam sektor pertanian termasuk pengurusan tanaman yang lebih cekap, pemantauan tanaman secara masa nyata serta pembajaan dan penyemburan racun serangga secara lebih berkesan.

Beliau berkata lebih banyak agensi diseru menyokong serta melabur dalam teknologi ini agar sektor pertanian negara dapat bergerak seiring dengan Revolusi Industri 4.0 dalam penggunaan teknologi digital.

“Ia adalah satu keperluan dan bukan lagi pilihan, saya percaya ini akan membuka lembaran baharu kepada sektor pertanian yang lebih moden, cekap dan berdaya saing,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan