KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Polis telah merakam keterangan 19 individu termasuk ahli keluarga, rakan dan saksi bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar kolej wanita yang disyaki dibunuh di kediaman keluarganya di USJ 2/1, Subang Jaya, Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti motif sebenar kejadian serta suspek terlibat.
“Setakat ini, belum ada tangkapan dilakukan. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Mangsa berusia lingkungan 20-an ditemukan tergantung pada kipas siling di ruang tamu tingkat dua rumah itu oleh bapanya pada 11.55 pagi.
Berdasarkan laporan bedah siasat pakar patologi Hospital Serdang, punca kematian disahkan berpunca akibat pendarahan pada sekeliling tulang leher (hyoid bone) manakala kecederaan pada otot dan tulang adalah kesan cekikan (manual strangulation).
Mangsa yang tinggal bersama kakak serta sepupunya didapati bersendirian semasa kejadian dan tiada kehilangan harta benda dilaporkan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial