KEPALA BATAS, 19 Ogos (Bernama) -- Persidangan Sistem Perakaunan Standard bagi Agensi Kerajaan (SAGA) Agensi Kerajaan (SeGAC) memberikan pendedahan komprehensif mengenai perkembangan teknologi terkini dan perkongsian maklumat strategik mengenai sistem perakaunan serta kewangan berkomputer.
Persidangan yang berlangsung dua hari bermula semalam itu menghimpunkan hampir 500 peserta dan merupakan platform eksklusif yang menghubungkan agensi kerajaan dengan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM).
JANM dalam kenyataan memaklumkan persidangan anjuran Persatuan Akauntan Sektor Awam Malaysia (PSA) dengan kerjasama jabatan itu menyaksikan lapan sesi pembentangan meliputi bidang ekonomi, teknologi pendigitalan, kemampanan, kepimpinan, motivasi, pengauditan, kewangan dan pembangunan organisasi yang menampilkan 13 orang panel berpengalaman.
“SAGA merangkumi sistem aplikasi perakaunan dan kewangan yang dibangunkan atau Commercial Off-The-Shelf (COTS) serta sistem sokongan berkaitan data kewangan yang berintegrasi dengannya dan ia perlu mematuhi kriteria reka bentuk yang ditetapkan di dalam Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia (SPANM) yang berkuat kuasa.
“SAGA juga bertujuan memastikan penyata kewangan agensi kerajaan dapat disediakan dengan lebih cepat, tepat, kemas kini, berintegriti, mematuhi piawaian perakaunan yang diterima pakai serta memantapkan pengurusan perakaunan dan kewangan agensi kerajaan,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, JANM memaklumkan SAGA turut memastikan keselamatan sistem, data dan maklumat terjamin dari aspek kerahsiaan, integriti dan ketersediaan iaitu data dan maklumat dilindungi, terpelihara, lengkap serta boleh diakses pada bila-bila masa.
Sementara itu, Akauntan Negara Datuk Nor Yati Ahmad berkata tema ‘Evolusi Digital Teras Kemampanan Era Baharu’ untuk persidangan itu dipilih bagi merealisasikan aspirasi negara untuk menyahut transformasi teknologi selaras dengan dasar Malaysia MADANI iaitu kemampanan yang merupakan antara teras utamanya.
“Tema ini menekankan kepentingan transformasi digital dalam kewangan dan perakaunan sektor awam melalui inovasi seperti kecerdasan buatan (AI) dan data analitik bagi memperkukuh tatakelola kewangan negara yang cekap, telus dan mampan,” katanya ketika merasmikan persidangan tersebut.
Agensi kerajaan akan diberikan Sijil Pematuhan SAGA setelah sistem aplikasi perakaunan dan kewangan diperakukan memenuhi Kriteria Pematuhan SAGA dan diluluskan JANM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial