AM

Insentif Menarik Menanti Pengunjung Di Pameran MATTA Sarawak

20/08/2025 02:31 PM

KUCHING, 20 Ogos (Bernama) -- Pengunjung ke Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sarawak edisi kedua berpeluang memenangi pelbagai insentif menarik termasuk memenangi tiket penerbangan pergi balik.

Selain itu, menurut MATTA Cawangan Sarawak dalam satu kenyataan hari ini, pengunjung juga berpeluang menerima baucar daripada pemain industri hospitaliti dan pelancongan tempatan.

Katanya, Malaysia Aviation Group (MAG) akan menawarkan hadiah melalui aktiviti Buyers’ Contest termasuk dua tiket penerbangan pergi balik setiap satu bagi laluan dari Kuching ke Brisbane, Paris, Chiang Mai, Danang dan Kuala Lumpur serta dua tiket pergi balik dari Sibu ke Kuala Lumpur.

"Maswings akan menaja lima tiket pergi balik ke mana-mana destinasinya manakala Scoot akan menaja satu tiket pergi balik masing-masing ke Perth dan Singapura,” kata MATTA Cawangan Sarawak.

Pameran yang akan diadakan pada 23 hingga 24 Ogos dari 10 pagi hingga 10 malam di Boulevard Shopping Mall di sini turut menawarkan peluang kepada pengunjung untuk membeli pelbagai pakej percutian domestik dan antarabangsa yang berbaloi daripada pengendali pelancongan berlesen serta tiket MAG melalui ejen yang dilantik.

MATTA Cawangan Sarawak menambah, kerjasama dengan Malaysia Airlines dan syarikat sekutunya, Firefly membolehkan ejen yang mengambil bahagian menawarkan tawaran dan promosi menarik kepada pengunjung.

“MATTA memuji inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kekerapan penerbangan yang memudahkan perancang percutian untuk menghubungkan destinasi di seluruh dunia,” katanya.

Kenyataan itu juga menambah, pengunjung akan mempunyai banyak pilihan untuk memilih pakej percutian impian masing-masing.

Pameran berkenaan diadakan secara percuma dan maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Sekretariat MATTA Cawangan Sarawak di talian 082-555853.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan