KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuat laporan polis berhubung satu penghantaran bungkusan mencurigakan melalui syarikat kurier dengan menggunakan nama Pengerusi MCMC sebagai penerima.
Menurut kenyataan MCMC hari ini, hasil semakan awal dengan pihak kurier mendapati penghantar berkenaan menggunakan nama samaran dan nombor telefon tertentu sejak Jun tahun ini.
“Syarikat kurier berkenaan turut merekodkan 55 aduan terhadap penghantar ini termasuk 18 kes penghantaran barang tidak dipesan oleh penerima dan 37 kes penghantaran tidak lengkap atau tidak selesai,” menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan bungkusan berkenaan telah diminta supaya ditahan oleh pihak kurier bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak polis.
“MCMC memandang serius sebarang bentuk penghantaran mencurigakan yang boleh menimbulkan ancaman dan akan terus memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan awam serta integriti institusi terpelihara,” menurut kenyataan itu.
MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada sekiranya menerima bungkusan daripada sumber tidak dikenali atau tidak dibuat pesanan.
“Sekiranya timbul keraguan, orang ramai dinasihatkan untuk segera menghubungi pihak berkuasa atau syarikat kurier bagi pengesahan lanjut,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial