JOHOR BAHRU, 24 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Johor menasihati orang ramai agar menjauhi struktur-struktur tidak kukuh dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa, susulan gegaran gempa bumi lemah yang dikesan berlaku di Segamat pada 6.13 pagi tadi.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz berkata beliau telah berhubung dengan Pegawai Daerah Segamat Mohd Ezzuddin Sanusi dan dimaklumkan bahawa setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan.
“Kerajaan Negeri Johor sedang memantau keadaan ini dengan teliti bersama agensi berkaitan. Nasihat saya kepada rakyat, jauhi struktur-struktur tidak kukuh dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa.
Pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan terus membuat pemantauan rapi dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa,” katanya dalam hantaran di laman Facebook pagi ini.
Beliau turut mengajak rakyat sama-sama berdoa agar negeri Johor serta seluruh negara sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon dalam hantarannya berkata MetMalaysia telah mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian gempa bumi itu.
Beliau berkata berdasarkan data yang direkodkan, gegaran tersebut berkekuatan 4.1 magnitud di daerah yang jaraknya terletak kira-kira 180 kilometer dari ibu negeri itu dan turut dirasai di kebanyakan kawasan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang.
“Jabatan Meteorologi akan membuat pemantauan lanjut dan mengeluarkan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial