AM

Kejayaan RUU Perolehan Kerajaan 2025 Diluluskan Bukti Kerajaan Ada Majoriti - Fahmi

28/08/2025 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Kejayaan Rang Undang-undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 yang diluluskan secara undi belah bahagian hari ini, sekali lagi membuktikan bahawa pihak kerajaan mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata tindakan mereka keluar dewan sejurus keputusan undian diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul sekadar usaha memutarbelitkan kekalahan mereka.

“Kita lihat bagaimana pembangkang setelah tewas dalam undi, mencuba untuk putar belit kekalahan mereka seolah-olah isu lain yang telah menimbulkan keresahan, sehingga menyebabkan mereka keluar dari dewan.

“Bagi saya ini satu taktik yang sangat sinis dan mereka sebenarnya perlu menerima bahawa mereka telah kalah dan sekali lagi membuktikan bahawa pihak kerajaan mempunyai majoriti sementara mereka kekal tidak cukup jumlahnya,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Terdahulu, Johari mengumumkan RUU itu diluluskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 125 Ahli Parlimen bersetuju, 63 tidak bersetuju, seorang tidak mengundi dan 32 tidak hadir. 

Fahmi dalam pada itu, turut menyatakan kekecewaan terhadap hujah-hujah pembangkang dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat yang disifatkannya sekadar retorik dan emosi tanpa berpaksikan fakta.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kedua berkata Kerajaan MADANI melakukan satu lagi reformasi besar yang tidak berani atau sanggup dilaksanakan pentadbiran terdahulu menerusi pembentangan RUU Perolehan Kerajaan 2025.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata menerusi RUU itu, semak dan imbang diperkukuh dengan keputusan perolehan termasuk keputusan Menteri Kewangan boleh dicabar dan dikaji semula menerusi proses Panel Kajian Semula dan seterusnya Tribunal Rayuan Perolehan yang berkecuali.

Perdana Menteri berkata RUU Perolehan Kerajaan juga memperkenalkan tindakan punitif atas ketidakpatuhan perolehan dan Menteri Kewangan tidak terkecuali atas kesalahan yang diperuntukkan dalam RUU itu.

Mesyuarat Dewan Rakyat kali ini yang bersidang selama 24 hari bermula dari 21 Julai lepas akan melabuhkan tirai hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan