AM

Malaysia Ketuai Mesyuarat AFSRB Ke-45, Perkukuh Sekuriti Makanan ASEAN

28/08/2025 07:29 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Malaysia meneruskan komitmen ASEAN dalam memperkukuh keselamatan makanan serantau dengan menganjurkan Mesyuarat Lembaga Simpanan Sekuriti Makanan ASEAN (AFSRB) kali ke-45 di sini, pada 25 dan 26 Ogos lepas.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan mesyuarat tahunan itu menjadi platform penting bagi membincangkan bekalan dan permintaan makanan asas serta mengukuhkan kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran.

“Mesyuarat diadakan secara tahunan dan menjadi platform penting bagi membincangkan bekalan dan permintaan makanan asas serta mengukuhkan kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran seperti krisis makanan, perubahan iklim dan gangguan rantaian bekalan,” menurut kenyataan KPKM hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM Datuk Badrul Hisham Mohd dengan penyertaan wakil daripada tujuh negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura dan Thailand.

Mesyuarat turut dihadiri wakil Sekretariat ASEAN, Sekretariat AFSRB, Sekretariat Rizab Beras ASEAN Campur Tiga (APTERR) dan Sekretariat Sistem Maklumat Sekuriti Makanan ASEAN (AFSIS).

Menurut KPKM, mesyuarat dimaklumkan mengenai status semasa sekuriti makanan melibatkan empat komoditi strategik iaitu beras, jagung, gula dan kacang soya di peringkat global, rantau ASEAN dan negara anggota.

“Mesyuarat kali ini telah dimaklumkan mengenai status semasa sekuriti makanan melibatkan empat komoditi strategik iaitu beras, jagung, gula dan kacang soya di peringkat global, rantau ASEAN serta setiap negara ahli. Ini termasuk cabaran daripada ketidaktentuan pasaran dan impak perubahan iklim,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, KPKM berkata penganjuran mesyuarat turut mempromosikan hasil pertanian tempatan melalui pameran dan hidangan menu makanan yang disediakan sepanjang persidangan berlangsung.

Penganjuran mesyuarat ini merupakan komitmen Malaysia berteraskan penggiliran kepengerusian mesyuarat mengikut abjad. Myanmar akan menjadi tuan rumah Mesyuarat AFSRB ke-46 pada 2026.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan