MARANG, 28 Ogos (Bernama) -- Hanya linangan air mata dapat menggambarkan kesedihan bekas anggota skuad pertama VAT 69, Che Yak @ Embong Ngah, 77, yang kehilangan dua sahabat baik dalam pertempuran dengan pengganas komunis 35 tahun lepas.
Che Yak yang lebih mesra dengan panggilan Pok Yak berkata khidmatnya kepada negara bermula selepas beliau menyertai pasukan Polis Hutan atau kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am (PGA) pada 8 Jun 1968.
Yak berkata selepas tiga bulan menyertai latihan, beliau terpilih menyertai VAT 69 dan ditugaskan ke Sibu, Sarawak untuk operasi pertama menentang komunis daripada Parti Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU).
"Di Sarawak pasukan VAT 69 yang terdiri daripada 30 anggota telah bergabung dengan Sarawak Border Scouts yang dianggotai orang Iban untuk menangani ancaman komunis.
"Dalam tempoh beberapa hari di hutan, pasukan kami telah diserang hendap oleh kira-kira 60 komunis yang terkenal dengan tabiat suka menyembelih musuh. Bagaimanapun Alhamdulillah semua rakan selamat," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, hari ini.
Che Yak baru-baru ini tular di media sosial berikutan aktiviti hariannya yang berjalan lebih 10 kilometer di sepanjang pantai di Marang sambil mengutip sampah.
Beliau yang berasal dari Kampung Duyong Besar di Kuala Terengganu berkata sehingga hari ini beliau masih teringat akan peristiwa rakannya yang bernama Rizuan maut ditembak komunis di Hulu Kinta, Perak manakala seorang lagi rakan bernama Zamri meninggal dunia selepas terkena jerangkap samar yang dipasang komunis di Sungai Siput, Perak.
Menurut beliau sepanjang 34 tahun berkhidmat, beliau sudah menyertai berbelas-belas operasi menentang komunis sebelum terpaksa mengundurkan diri daripada pasukan VAT 69 kerana menghidap penyakit apendiks.
"Rizuan merupakan kawan baik saya manakala ASP Zamri ialah pegawai yang paling rapat...kami banyak menyertai operasi bersama.
"Saya sempat berkhidmat selama tiga tahun dengan VAT 69 sebelum ditukar ke unit Persenjataan VAT 69 pada 1972 kerana penyakit apendiks. Untuk menyertai VAT 69, anggota perlu benar-benar sihat dan cergas kerana tugasnya yang sangat berat serta mencabar," katanya yang memiliki seorang cahaya mata.
Che Yak berkata beliau menamatkan tugas sebagai anggota polis berpangkat Sarjan Mejar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terenggganu pada 1 Feb 2004.
Dalam tempoh perkhidmatannya beliau telah menerima beberapa pingat iaitu Pingat Pangkuan Negara, Bentara Pasukan Polis dan Jasa Pahlawan Negara.
"Pesanan saya pada generasi hari ini ialah sentiasa bersedia mempertahankan negara, jangan biarkan ia tergadai di tangan orang asing.
"Nikmat kemerdekaan yang kita nikmati hari ini hasil keringat, darah dan air mata pejuang negara," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial