KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini menandakan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan lebih 1.2 juta rakyat Malaysia yang terlibat dalam ekonomi gig mendapat perlindungan sewajarnya
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata RUU itu adalah manifestasi jelas bahawa kerajaan tidak membiarkan pekerja gig terus berada di pinggiran tanpa perlindungan sosial dan hak yang sah.
Beliau berkata kejayaan itu juga bukti jelas bahawa kerajaan sentiasa mendengar denyut nadi rakyat dan memastikan tiada sesiapa pun tercicir daripada arus pembangunan negara.
“Dengan kelulusan ini, pekerja gig akan diiktiraf kedudukannya di sisi undang-undang dan dilindungi dengan jaminan sosial yang lebih sistematik.
“Hakikatnya, industri gig telah menjadi nadi baharu ekonomi negara, melibatkan bidang seperti p-hailing, e-hailing, pekerja bebas (freelancer) digital dan pelbagai perkhidmatan dalam talian yang menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan RUU itu yang antaranya bertujuan melindungi hak pekerja gig, mengadakan peruntukan bagi kewajipan entiti kontrak serta mengawal selia terma dan syarat perjanjian perkhidmatan yang dibuat antara entiti kontrak dengan pekerja gig.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut menekankan kepentingan pelaksanaan yang telus, menyeluruh dan berkesan RUU berkenaan.
Sehubungan itu sebagai langkah seterusnya, beliau akan memantau dan memastikan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) bagi mengawal selia, menyelaras serta memantau perkembangan sektor itu secara khusus.
“Suruhanjaya ini akan menjadi pemangkin kepada keseluruhan ekosistem ekonomi perkongsian ini termasuk pembekal, pembeli, penyedia khidmat, penyedia platform, pekerja GiG, pengguna dan pemacuan pengembangan ekonomi perkongsian ini secara keseluruhannya,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat khususnya Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam merangka RUU itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial