AM

Segamat Dilanda Gempa Bumi Kali Ketiga Dalam Beberapa Hari, Magnitud 2.5 Malam Ini

29/08/2025 12:18 AM

SEGAMAT, 28 Ogos (Bernama) -- Segamat sekali lagi dilanda gempa bumi lemah malam ini, menjadikannya kejadian ketiga dalam tempoh beberapa hari di kawasan berkenaan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa bumi bermagnitud 2.5 pada skala Ritcher itu, berlaku pada 7.56 malam dengan pusat gempa dikesan pada kedudukan 2.6 darjah utara dan 102.8 darjah timur, kira-kira 13 kilometer utara dari Segamat, Johor pada kedalaman 10 kilometer.

“Gegaran turut dirasai di Johor. Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memantau keadaan ini,” menurut MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook malam ini.

MetMalaysia turut meminta orang ramai yang merasai gegaran berkenaan supaya mengisi borang soal selidik, bagi membantu pihak berkuasa mendapatkan data terperinci berhubung kejadian berkenaan di pautan https://forms.gle/2oEMtASN33W6TV9g7.

Sejak beberapa hari lepas, dua kejadian gempa bumi lemah turut dilaporkan di daerah ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk walaupun tiada laporan kerosakan diterima setakat ini.

Semalam, MetMalaysia mengesahkan gempa bumi lemah berukuran 3.2 pada skala Richter berlaku di Segamat pada 8.59 pagi, dengan gegaran dilaporkan dirasai di beberapa kawasan di Johor dan selatan Pahang.

Pada 24 Ogos, MetMalaysia mengesahkan dua kejadian gempa bumi lemah, masing-masing berukuran 4.1 pada skala Richter di Segamat pada 6.13 pagi dan magnitud 2.8 di Yong Peng, 28 kilometer barat laut Kluang pada 9 pagi

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan Pegawai Daerah Segamat Mohd Ezzuddin Sanusi memaklumkan tiada laporan kerosakan harta benda, kecederaan mahupun kemalangan jiwa diterima setakat ini susulan gegaran lemah bermagnitud 2.5 yang berlaku di daerah itu pada 7.56 malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan  Bencana Daerah (JPBD) berkata berdasarkan laporan awal, gegaran dapat dirasai oleh penduduk sekitar daerah Segamat dan kawasan berdekatan.

“Pihak berkuasa keselamatan serta agensi-agensi yang berkaitan sedang menjalankan pemantauan lanjut bagi memastikan keadaan di daerah Segamat berada dalam keadaan selamat terutamanya untuk orang awam.

“Orang ramai diminta bertenang, tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan mendapatkan perkembangan terkini melalui saluran rasmi seperti MetMalaysia serta agensi kerajaan berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip dalam kenyataan malam ini berkata berdasarkan analisis MetMalaysia, kejadian gempa bumi itu berlaku di Zon Sesar Mersing.

Beliau berkata kejadian itu merupakan gempa susulan ketiga sejak berlakunya gempa utama pada 24 Ogos 2025 dan MetMalaysia akan terus memantau keadaan ini dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa.

Dalam masa sama, beliau menasihati orang ramai tidak perlu bimbang kerana gempa bumi yang berlaku bermagnitud lemah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan