AM

Usia Persaraan Lebih Tinggi Perlu Pelan Penggantian

01/09/2025 06:13 PM

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Malaysia perlu melaksanakan model persaraan berfasa dan menguatkuasakan pelan penggantian sebelum meningkatkan umur persaraan, kata Pengarah Urusan IM Possible Solutions Sdn Bhd Amir Isyam Abdul Rahim.

Beliau berkata peningkatan umur persaraan tidak dapat dielakkan berikutan demografi negara yang semakin tua dan jangka hayat lebih panjang namun memberikan amaran trend tersebut boleh memburukkan lagi kemerosotan pendapatan, penyempitan laluan kerjaya dan penghijrahan cendekiawan, tanpa dasar yang sewajarnya.

"Umur persaraan perlu ditingkatkan, jika tidak masyarakat, keluarga dan kerajaan akan terbeban jika warga emas tidak dapat menyara diri sendiri. Tetapi ini memerlukan pendekatan berfasa," katanya pada program 'The Nation' terbitan Bernama TV hari ini.

Amir Isyam mencadangkan pekerja yang lebih berusia dibenarkan untuk kekal dalam tenaga kerja tetapi beralih keluar daripada peranan kepimpinan tertinggi selain syarikat perlu melaksanakan perancangan penggantian berstruktur.

"Ya, tingkatkan umur persaraan, tetapi syarikat diwajibkan untuk mewujudkan peluang. Warga emas boleh kekal, tetapi bukan sebagai pengarah, eksekutif kanan tertinggi (C-suite) atau ketua jabatan," katanya.

Beliau berkata dasar sedemikian akan membolehkan syarikat mengekalkan pengetahuan dalam organisasi dan bimbingan daripada petugas senior sambil mewujudkan ruang untuk pekerja lebih muda memajukan kerjaya mereka.

Amir Isyam mengingatkan bahawa tanpa pembaharuan itu, golongan muda Malaysia akan terus mengintai peluang di luar negara. "Jika peluang saya untuk naik (dalam kerjaya) disekat, lebih baik saya pergi ke tempat lain yang menghargai saya. Dalam pasaran global hari ini, tempat itu mungkin bukan Malaysia," katanya.

Antara cadangan beliau adalah mewajibkan perancangan penggantian dalam syarikat awam tersenarai dan swasta, menghubungkan insentif pinjaman dengan pembangunan bakat berstruktur dan memperkenalkan undang-undang ketelusan gaji untuk memastikan pengagihan kekayaan lebih adil.

Beliau menambah walaupun sistem simpanan persaraan Malaysia agak kukuh, ramai pekerja masih kekurangan simpanan yang mencukupi, ditambah lagi dengan peningkatan kos sara hidup dan jangka hayat lebih panjang.

Amir menegaskan bahawa pembaharuan persaraan tidak boleh dilihat secara berasingan, kerana ia berkait rapat dengan pendidikan, penjagaan kesihatan, pertumbuhan gaji dan penggunaan kecerdasan buatan (AI).

"Kesimpulannya, ini adalah mengenai keseimbangan antara generasi. Kita memerlukan dasar yang melindungi warga emas sambil memastikan golongan muda Malaysia boleh berkembang maju dan mengambil alih peranan kepimpinan," katanya.

Pada 31 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 di Parlimen, mengumumkan bahawa dasar umur persaraan akan dikaji semula sejajar dengan peralihan demografi Malaysia ke arah negara tua.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dilaporkan berkata kajian mendalam mengenai cadangan itu perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan diambil.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan