SEPANG, Sept 2 (Bernama) -- Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Ungkapan paling tepat bagi menggambarkan situasi pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei, yang terpaksa berdepan pelbagai cabaran sebelum muncul sebagai juara dunia bersama gandingannya, Chen Tang Jie.
Pemain berusia 23 tahun itu mengakui perjalanan yang ditempuh penuh ranjau, termasuk masalah kesihatan yang memaksanya berehat seketika daripada gelanggang.
“Perjalanan saya tidak mudah, banyak jatuh dan bangun, termasuk masalah kesihatan. Bagaimanapun, MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara) banyak membantu saya, begitu juga YB Hannah Yeoh dan Road To Gold (RTG) yang telah memberi sokongan kuat.
“Semua sokongan itu membantu saya ketika di gelanggang, bukan sahaja saya tetapi juga semua pemain di BAM (Persatuan Badminton Malaysia),” katanya ketika ditemui pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Paris, Perancis hari ini
Tang-Jie Ee Wei dinobatkan sebagai juara dunia bagi acara beregu campuran selepas menumpaskan wakil China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-15, 21-14 dalam aksi final Kejohanan Dunia di Paris, pada Ahad lepas.
Sementara itu, Tan Jie menyifatkan faktor komunikasi yang semakin baik menyumbang kepada kejayaan mereka di Kejohanan Dunia.
“Bagi kami, setiap kejohanan adalah pengalaman. Menang atau kalah bukan ukuran semata-mata tapi apa yang kita lalui dan cara kita berkomunikasi setiap hari lebih penting,” katanya.
Dalam pada itu, beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah berharap kejayaan bersejarah mereka meraih pingat perak di Kejohanan Badminton Dunia di Paris menjadi pemangkin semangat dan membuka mata lebih ramai atlet wanita negara untuk berani mengejar impian.
“Saya sangat gembira dan bangga kerana dapat bawa beregu wanita Malaysia ke mata dunia. Tiada sebarang penyesalan kerana kami telah beri sehabis baik dan kami bekerja keras untuk mendapatkan pingat ini.
“Kami tidak akan berhenti di sini dan akan terus berjuang,” kata Pearly.
Pasangan nombor dua dunia itu terpaksa akur kepada beregu utama China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, dalam pertarungan epik tiga set 14-21, 22-20, 17-21, yang berlangsung selama 83 minit di Arena Adidas, Paris.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial