AM

KKR Seru Syarikat Pembinaan Sarawak Daftar Sebagai Kontraktor FM

04/09/2025 02:29 PM

KUCHING, 4 Sept (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) menyeru lebih banyak syarikat pembinaan di Sarawak mendaftar sebagai kontraktor pengurusan fasiliti (FM) berikutan jumlah syarikat berdaftar dalam bidang itu di negeri berkenaan masih rendah.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata daripada kira-kira 460 syarikat berdaftar FM di seluruh negara setakat ini, hanya 17 daripadanya beroperasi di Sarawak.

“Syaratnya sama sahaja untuk setiap negeri, cuma mungkin selama ini kesedaran terhadap potensi bidang ini di Sarawak tidak menyeluruh. 

“Sebab itu kita buat sesi libat urus untuk meningkatkan kesedaran supaya mereka yang dalam bidang pembinaan turut melihat peluang dalam pengurusan fasiliti,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sesi Libat Urus Industri Pengurusan Fasiliti Sarawak 2025, di sini, hari ini.

Mengulas sama ada kekurangan syarikat FM memberi kesan kepada industri pembinaan di Sarawak yang sedang berkembang pesat, beliau berkata setakat ini, ia tidak mengganggu pelaksanaan projek pembinaan, namun peningkatan jumlah kontraktor FM memastikan persaingan sihat dan harga perkhidmatan yang lebih kompetitif.

“Kalau pemainnya sedikit, maka persaingan pun kurang…. Tetapi sekiranya ramai, mungkin dari segi harga lebih kompetitif sebab penawaran dan permintaan,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan perasmian, Nanta berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) giat melaksanakan inisiatif khusus dalam memperkasakan bidang FM seperti pendaftaran dan pensijilan kontraktor FM, pembangunan modul komprehensif dan penyediaan latihan serta pelancaran perisian LCCsoft (Life Cycle Costing Software). 

“CIDB juga sedang membangunkan standard industri pembinaan untuk pengurusan fasiliti iaitu CIS-FM atau Construction Industry Standard for FM yang akan menyeragamkan amalan terbaik FM di seluruh negara, memastikan mutu kerja penyelenggaraan dan pengurusan aset adalah konsisten, profesional dan menepati piawaian antarabangsa,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan