SARIKEI, 4 Sept (Bernama) -- Dua nelayan dilaporkan hilang ketika menangkap ikan di perairan Kabong semalam.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis Komander Maritim Mahkos Juing berkata pihak Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Kuching telah mengkoordinasikan operasi mencari dan menyelamat Tuah Bujang, 57, dan anaknya Mohd Aiman Tuah, 24, selepas menerima panggilan kecemasan pada 9.50 pagi tadi.
“Sebuah bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah digerakkan ke lokasi.
“Kedua beranak itu berasal dari Kabong, mereka sepatutnya pulang dari laut petang semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pencarian ditumpukan di kawasan mangsa dipercayai hilang dengan keluasan operasi melibatkan 13.6 batu nautika persegi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Tanjung Manis melalui talian 011-35728765 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan kedua-dua mangsa keluar ke laut pada 2 petang semalam untuk menangkap ikan.
“Berlaku hujan lebat dan laut bergelora kira-kira 5 petang hari sama dan kedua-dua mangsa tidak dapat dihubungi, sehinggalah satu laporan dibuat di Balai Polis Kabong pada 6.49 pagi hari ini untuk tindakan mencari dan menyelamat,” menurut kenyataan itu.
Menurut PGO JBPM Sarawak, bot mangsa telah dijumpai oleh orang kampung pada 9 pagi tadi pada jarak 5.5 batu nautika dan ditunda ke jeti Kabong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial