DUNIA

Mesyuarat Dua Hala Malaysia-Australia Tumpu Perdagangan, Teknologi, Keselamatan Serantau

06/09/2025 04:35 PM

SEREMBAN, 6 Sept (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dijadualkan menghadiri Mesyuarat Menteri Luar Australia-Malaysia kali ketujuh pada 11 Sept ini, bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pendidikan, teknologi dan keselamatan serantau.

Mohamad berkata mesyuarat tersebut turut memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama pertahanan menerusi Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) iaitu inisiatif pertahanan bersama antara Malaysia, Australia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom yang disifatkan sebagai tonggak utama kestabilan dan keselamatan di rantau Asia Tenggara.

“Ketika saya menjawat jawatan Menteri Pertahanan, saya minta agar FPDA ini dipertingkatkan dan diperkasakan. Kita perlu lebih giat menguar-uarkannya kerana mekanisme pertahanan bersama ini amat penting, khususnya dalam konteks keselamatan perairan strategik seperti Laut China Selatan.

“Malaysia juga menyertai pelbagai latihan di bawah FPDA setiap tahun, dan ia perlu terus ditingkatkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Kemerdekaan Taman Pinggiran Senawang di sini, Sabtu.

Dalam pada itu, Mohamad berkata pihaknya akan menyuarakan pandangan berhubung isu penempatan pelarian suaka politik, khususnya cadangan Australia untuk menempatkan golongan berkenaan di pulau-pulau di Lautan Pasifik.

Beliau berkata Malaysia berpandangan bahawa sebarang tindakan berkaitan pelarian harus mengambil kira pandangan golongan tersebut, termasuk pilihan untuk terus tinggal di Australia, kembali ke negara asal, atau dipindahkan ke lokasi lain.

“Australia merancang untuk menghantar pelarian suaka ini ke sebuah pulau di Lautan Pasifik. Ini merupakan perkara yang perlu difikirkan dengan lebih mendalam. Mereka mahu meninggalkan negara asal demi kehidupan yang lebih baik.

“Saya akan sebut perkara ini dalam mesyuarat nanti dan melihat pendekatan yang akan diambil oleh pihak Australia, kalau mereka mahu kembali ke negara asal seperti Syria yang sekarang ini dah mula aman, bagi mereka peluang untuk memilih tinggal di Australia, hantar ke suatu pulau atau balik semula ke negara asal,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan