AM

PMR 2025 Rekod 45 Pengikrar Derma Organ Baharu

06/09/2025 08:14 PM

BALING, 6 Sept (Bernama) -- Seramai 45 individu mendaftar sebagai pengikrar derma organ sepanjang tiga hari Program MADANI Rakyat (PMR) yang berlangsung di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling di sini sejak Khamis lepas.

Penyelaras Program Pendermaan Organ Negeri Kedah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Dr Norlida Mohd Jamil berkata kesedaran orang ramai mengenai pendermaan organ masih pada tahap yang rendah.

"Dengan adanya promosi derma organ seperti di PMR ini diharap dapat memberi dan meningkatkan kesedaran serta pengetahuan awam mengenai pendermaan organ dan kepentingannya.

"Sepanjang tiga hari PMR 2025 yang berlangsung di daerah Baling ini, seramai 45 individu telah tampil sebagai pengikrar derma organ," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau juga berkata berlaku peningkatan ketara pengikrar baharu di Malaysia pada Ogos tahun ini iaitu seramai 5,372 individu termasuk 298 di Kedah.

"Kedah berada pada kedudukan ke-13 dalam senarai pendermaan organ daripada 15 negeri di peringkat nasional.

"Tingkat kesedaran untuk menderma organ di Kedah masih rendah, hanya 0.88 peratus  penduduk Kedah berdaftar sebagai pengikrar derma organ," katanya.

Dr Norlida juga berkata setakat 5 Sept lepas, hanya 645 pengikrar derma organ baharu mendaftar berbanding 726 pada 2024 dan 1,337 pada 2023.

"Statistik terkini menunjukkan 10,805 pesakit masih menunggu transplan organ daripada penderma selepas kematian.

"Penderita kegagalan buah pinggang menduduki tempat pertama dalam senarai iaitu sebanyak 10,776 orang," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan