Oleh Kamarul Halim M Kamal
BATU PAHAT, 16 Sept (Bernama) -- Batu Pahat, yang sinonim dengan jolokan Bandar Penggaram, kini menawarkan tarikan pelancongan baharu melalui Yok Batu Pahat River Cruise (BP Cruise) sekali gus memberi peluang kepada pengunjung menikmati keindahan Sungai Batu Pahat daripada perspektif yang berbeza.
Sejak mula beroperasi pada 16 Sept tahun lepas, BP Cruise terus mencuri perhatian terutama pada musim cuti sekolah apabila orang ramai tidak melepaskan peluang membawa keluarga menyusuri sungai yang pernah digelar Rio Formosa oleh pelayar Portugis pada abad ke-16.
Gelaran Rio Formosa, yang bermaksud “sungai yang indah,” tercatat dalam peta pelayaran tokoh maritim terkenal Tom Pires.
Pengerusi Tourism Batu Pahat Qairy Maheran berkata inisiatif itu, yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), adalah bagi memperkenal produk pelancongan baharu selain menghargai keindahan alam semula jadi dan warisan budaya tempatan.
“Pengunjung boleh memilih pakej pelayaran mengikut waktu sama ada pagi, petang atau malam, menaiki cruise dengan kabin kayu klasik yang menampilkan rekaan tradisional namun elegan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pakej Layar Alam menawarkan pengalaman menyaksikan mercu tanda utama seperti Pelabuhan Batu Pahat, Jambatan Tun Abdul Razak, Rumah Kelab Jepun, jeti penambang, Tokong Si Hai Long Wang, kawasan paya bakau, perkampungan nelayan serta habitat burung migrasi dan buaya.
Bagi mereka yang mendambakan pengalaman lebih eksklusif, pakej Layar Seri disediakan sebagai sewaan peribadi dengan laluan hingga ke Pantai Minyak Beku, sesuai untuk acara khas seperti sambutan ulang tahun atau sesi fotografi berlatarkan suasana senja.
Pakej Layar Muara pula menawarkan pelayaran santai dari Jeti Anjung Shahbandar hingga ke muara Selat Melaka dan ia boleh dinikmati melalui tempahan khas.
“BP Cruise bukan sahaja mengisi ruang pelancongan dan percutian malah berfungsi sebagai bentuk terapi dengan konsep ‘river healing’... ia membolehkan pengunjung menghargai alam sekitar secara lebih dekat,” katanya.
Qairy juga berkata pengalaman pelayaran adalah berbeza mengikut masa dan waktu pagi menampilkan suasana nelayan dan kapal yang sibuk di pelabuhan; waktu petang menyajikan pemandangan buaya berjemur di tebing dan burung migrasi berterbangan untuk tatapan pengunjung manakala waktu senja menawarkan panorama matahari terbenam yang memukau.
Seorang pengunjung dari Kluang, Nur Zulaikha Muzamil, 25, berkongsi keterujaannya apabila berpeluang menaiki BP Cruise buat kali pertama.
“Saya sering berkunjung ke Batu Pahat sebelum ini, tetapi hanya melalui jalan darat.
"Kali ini pengalamannya sungguh berbeza kerana dapat menyelusuri sungai dan melihat pemandangan dari sudut lain,” katanya.
Bagi Salwani Hasharudin, 28, pengalaman menaiki cruise pada waktu petang meninggalkan kenangan manis yang membuatkannya ingin kembali.
“Kali seterusnya, saya mahu merasai suasana waktu senja yang pasti lebih indah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial