AM

Grab Raikan Sumbangan Anak Malaysia Lindungi Pengguna Sempena Hari Malaysia

21/09/2025 10:49 AM

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Sempena Hari Malaysia, Grab meraikan bakat tempatan yang menjadi tonggak kejayaannya, termasuk dua wanita di sebalik aplikasi Superapp Grab yang memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan pengguna dalam talian.

Grab dalam kenyataan hari ini memaklumkan keselamatan siber kini semakin penting berbanding sebelumnya, terutama dalam dunia digital yang berteraskan kepercayaan.

Pemangku Ketua Keselamatan Siber Grab Yap Pei Shan berkata melindungi rakyat Malaysia dalam talian bukan sekadar pekerjaan, sebaliknya satu panggilan jiwa memandangkan landskap keselamatan siber yang sentiasa berubah menuntut kewaspadaan berterusan.

“Misi kami mudah tetapi amat penting, iaitu melindungi Grab daripada ancaman siber dan membina kepercayaan pengguna. Setiap perjalanan, setiap bayaran, setiap transaksi, kami berusaha memastikan ia dilindungi agar orang ramai dapat menggunakan aplikasi Grab dengan selamat dan terjamin,” katanya.

Beliau berkata antara pencapaian paling dibanggakannya ialah bekerjasama dengan pasukannya membangunkan ekosistem keselamatan siber yang dikuasakan oleh data raya, kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin.

“Sistem pemantauan dan pengesanan keselamatan siber Grab memainkan peranan penting dengan mengenal pasti aktiviti mencurigakan, membolehkan kami mengesan serta mencegah serangan siber lebih awal.

“Selain itu, pasukan kami berhasrat memanfaatkan model AI ramalan untuk membantu menjangka serta mengurangkan risiko, demi memastikan persekitaran digital yang lebih selamat untuk semua pengguna,” katanya.

Yap, yang berpengalaman dalam bidang sains komputer dan perundingan teknologi di seluruh Asia Tenggara, berkata beliau menemui minat mendalam dalam bidang keselamatan siber yang disifatkannya sebagai dinamik, mencabar dan penuh impak.

Menurutnya, dorongan utamanya dalam bidang itu ialah keyakinan bahawa tanggungjawab yang dipikulnya dapat membantu rakyat Malaysia menggunakan teknologi dengan lebih selamat.

“Saya membesar di sini dan kini saya berpeluang menyumbang kepada sesuatu yang lebih besar daripada diri saya sendiri.

“Sama ada seseorang menaiki kenderaan, membuat bayaran dengan GrabPay atau mencari rezeki melalui platform kami, kerja saya memastikan semua pengalaman itu selamat dan terjamin. Itulah cara saya menyumbang semula kepada Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Keselamatan Platform Grab Naomi Sundrasaykarum berkata keselamatan sentiasa menjadi teras misi Grab, dan baginya, tanggungjawab ini amat peribadi.

Naomi, yang berpengalaman dalam bidang keselamatan dan kesihatan di industri minyak dan gas, berkata keutamaan dalam tugasnya kekal sama, iaitu memastikan keselamatan setiap individu walaupun industri tempat beliau berkhidmat telah berubah.

“Saya memegang peranan ini dengan penuh rasa tanggungjawab kerana benar-benar mengambil berat tentang setiap individu di platform kami. Saya selalu membayangkan bagaimana jika ia melibatkan orang tersayang dalam hidup saya.

“Setiap keputusan yang saya ambil dan setiap langkah yang kami laksanakan berlandaskan kepercayaan bahawa keselamatan ialah tanggungjawab bersama. Ia bukan sekadar soal teknologi, tetapi turut merangkumi kepercayaan, keprihatinan dan komitmen untuk melindungi setiap pengguna yang bergantung pada Grab,” katanya.

Naomi berkata antara sumbangan paling dibanggakannya ialah penglibatan dalam pelancaran AudioProtect, ciri keselamatan berasaskan AI yang melindungi pengguna dalam setiap perjalanan.

“Rakan pemandu merupakan tunjang perkhidmatan kami dan mereka berhak berasa selamat ketika bekerja, sama seperti penumpang yang berhak merasa selamat sepanjang perjalanan. AudioProtect ialah cara kami memastikan keselamatan tidak pernah dikompromi untuk semua yang terlibat,” katanya.

Bermula sebagai MyTeksi, sebuah syarikat pemula dengan aspirasi murni untuk menjadikan pengangkutan lebih selamat, Grab kini berkembang menjadi peneraju pasaran serantau yang mengubah cara rakyat Malaysia hidup, bergerak, menikmati makanan dan berhubung.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan